Penguatkuasa Dibaling Najis Dan Air Kencing Lembu

Lima lelaki ditahan selepas membaling air kencing dan najis lembu kepada anggota penguatkuasa dan anggota polis ketika Op Roboh di kandang lembu dan kuil di Bukit Tinggi, di sini, hari ini.Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, sepasukan anggota polis hadir ke kawasan berkenaan bagi membantu anggota penguat kuasa Pejabat Daerah Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan operasi merobohkan binaan berkenaan.

“Ketika operasi itu, seorang lelaki dipercayai pemilik lembu berkenaan menghalang tugasan anggota petugas dengan membaling air kencing dan najis lembu.

“Empat lagi lelaki juga mengadakan provokasi dengan menolak anggota yang sedang melaksanakan operasi berkenaan,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia 24 hingga 59 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, operasi berkenaan bermula pada jam 9.30 pagi dan berlaku perbincangan antara pihak penguatkuasa, pemilik kandang serta kira-kira 20 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Pihak MPK kemudian berjaya masuk ke dalam kawasan kandang lembu bersama jentolak walaupun masih ada bantahan daripada beberapa individu yang cuba menghalang tindakan mereka.

“Sebahagian lembu dipindahkan oleh ke Pusat Tahanan Haiwan di Pulau Indah,” katanya.

Beliau berkata, operasi kemudiannya ditangguhkan pada jam 4 petang tadi atas permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa dan dipersetujui pihak Pejabat Daerah Klang dengan surat akujanji daripada pengusaha untuk mengeluarkan semua baki lembu dan kuil sehingga 30 Ogos ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.