Warga Emas Rogol Bayi 11 Bulan

Reman ke atas seorang warga emas yang disyaki merogol bayi berusia 11 bulan yang diasuh menantunya disambung seminggu lagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, permohonan sambung reman diluluskan mahkamah selepas reman terdahulu selama tujuh hari berakhir hari ini.

Beliau berkata, reman terbaharu dilanjutkan bermula esok sehingga 5 September depan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Lanjutan reman dipohon kerana masih terdapat beberapa maklumat yang belum lengkap.

“Kita akan cuba selesaikan siasatan secepat mungkin… Kita tidak semestinya tunggu sampai proses reman habis, jika semua maklumat dah ada, kita akan terus hantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya, ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Selain itu katanya, pihaknya juga sudah merakamkan keterangan anak serta menantu suspek bagi membantu siasatan.

Polis menahan suspek lelaki berusia 68 tahun pada 22 Ogos lalu, selepas disyaki merogol mangsa di sebuah pangsapuri di Seksyen 24, di sini.

Terdahulu, perbuatan terkutuk suspek terbongkar selepas kejadian disedari ibu mangsa yang mengambil anak bongsunya pada jam 6.15 petang 20 Ogos lalu.

Mangsa dikatakan mengalami berak berdarah sebelum ibunya berusia 26 tahun terus menghubungi suaminya memaklumkan kejadian dan membawa anak mereka ke hospital.

Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian, pengasuh berusia 25 tahun keluar sebentar dan suspek tinggal di rumah tersebut bersama anak-anaknya berusia 30 dan 17 tahun serta mangsa.

Hasil soal siasat awal, suspek turut mengaku memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Difahamkan, mangsa dijaga pengasuh berkenaan sejak tujuh bulan lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.