Kerusi Parlimen Pilihan Anwar Bakal Diumumkan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berteka-teki mengenai kerusi yang akan ditandinginya jika berhasrat menganggotai Parlimen selepas ini.Anwar bagaimanapun memberitahu, keputusan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat hasil perbincangannya dengan pelbagai pihak.

“Ya. Dalam masa yang singkat ini. Daripada 10 (kerusi Parlimen yang disenarai pendek) tinggal lapan…enam dan tiga sahaja.

“Jadi, dalam dua atau tiga sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Tazkirah Perdana pada majlis Pelancaran Mahrajan KAFA Interaktif 2018 & Kenduri Rakyat di pekarangan Masjid Jamek Kubang Ulu di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Ketika ini, Anwar telah mengesahkan untuk tidak bertanding bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang anak perempuannya, Nurul Izzah.

Mengulas mengenai tempoh beliau mahu memegang kerusi Parlimen sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri selepas ini, Anwar berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya minta kepada Tun (Mahathir) untuk beri ruang kepada saya menumpukan ‘Parliamentary Reform’ (Pembaharuan Parlimen) untuk seketika.

“Kita bincang dengan Speaker, wakil kerajaan dan wakil pembangkang hingga wujud kesepakatan (untuk dipilih sebagai Perdana Menteri),” ujar beliau.

Tambah Anwar, sepanjang tempoh itu juga, beliau enggan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sebaliknya hanya mahu dikenali sebagai Anwar Ibrahim sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.