Saya Dan Ayahanda Saya, DYMM Sultan Johor Sedang Diperhatikan – TMJ

Persoalannya siapa yang memerhatikan keluarga DiRaja ini? Siapa yang menentang kesinambungan institusi Beraja dalam negara kita? Rakyat boleh meneka dengan jelas.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendakwa laman media sosial beliau dan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, diperhatikan individu tertentu menggunakan teknologi Israel.

Perkara itu didedahkan di laman Facebook (FB) milik beliau, HRH Crown Prince of Johor, malam tadi yang turut mendakwa, ramai cybertroopers diletakkan di laman sosial milik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau berkata, alat berkenaan yang dimiliki kerajaan digunakan untuk tujuan pengintipan dan mengumpul data selain digunakan sebelum pilihan raya untuk membantu dalam perang siber.

“Beberapa pegawai kerajaan berjumpa saya dengan menyatakan bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Unit Khas, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini.

“Bila ia berkaitan dengan keselamatan negara, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang sangat berharga. Namun, peralatan ini tidak patut diseleweng mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri.

“Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang menyampaikan pesan bahawa saya dan Ayahanda saya, DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan Johor sedang diperhatikan. Ramai juga ‘cybertroopers’ diletakkan pada halaman JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan,” katanya.

Menurut beliau, teknologi berkenaan digunakan kerajaan sebelum ini, namun tidak sepatutnya berlaku dalam era Malaysia Baharu.

Beliau yang juga pemilik kelab JDT berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan kerajaan yang memerintah dan sentiasa memberikan sokongan.

“Saya tidak akan berdiam diri jika ada beberapa parti yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor yang unik ini.

“Biar saya jelaskan sekali lagi bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan. Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah.

“Dengan itu, kami akan menyokong segala keputusan yang betul. Namun kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah.

“Akhir kata, satu-satunya perkara yang rakyat mahukan adalah kerajaan mengutamakan kemajuan, bukannya bertelagah di dalam negara. Saya berdoa semoga kerajaan menepati janji janji kepada rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.