Saya Tidak Perlukan Restu Anwar – Zuraida

PERPECAHAN dalaman PKR semakin sengit. Suara Anwar seolah-olah tidak mempunyai “taring” lagi apabila Zuraida seolah-olah membelakangkan pengasas PKR tersebut. Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan beliau tidak memerlukan kebenaran Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pemilihan parti berkenaan.

Zuraida berkata, beliau akan turun ke gelanggang bersandarkan kekuatan sendiri serta pengalaman luas selama 20 tahun dalam parti berkenaan.

Beliau yang menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden berkata, ahli-ahli PKR perlu menolak calon yang menjaja nama Anwar untuk mendapatkan undi.

“Saya tidak akan guna nama Anwar sebaliknya yakin dengan rekod kerja yang dibuktikan selama ini akan mampu baiki parti di peringkat akar umbi yang kini lemah kerana tidak diberi perhatian oleh mereka yang sepatutnya laksanakan tugas berkenaan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam bersama sebahagian calon pemilihan PKR dari Melaka, Kedah , Perlis dan Selangor di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PKR negeri, Datuk Dr. Mansor Othman.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, PKR perlu dipacu oleh kumpulan yang berpengalaman dan berjuang sejak zaman Reformasi 1998 seperti Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, bukannya seorang yang hanya pandai bercakap serta melemparkan pelbagai fitnah.

“Apa guna melalak mahukan Anwar jadi Perdana Menteri kalau parti berterabur. Adakah kita mampu menyokong Anwar jika parti tidak kuat,” katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sekiranya kumpulan yang tidak berkelayakan memimpin parti, mereka tidak akan dihormati parti lain dalam Pakatan Harapan.

“Parti lain akan kata macam mana hendak bagi Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri kalau parti berterabur. Kita lebih lama dalam PH, tetapi lihat bagaimana layanan yang diterima di negeri yang dimenangi seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Ampang itu turut menyelar sikap sesetengah calon yang gemar membawa masalah dalaman parti kepada media.

“Atas sebab itu kita tidak respon terhadap tuduhan yang dibuat kerana kita jaga rahsia parti,” katanya.

Adakah Mahathir menjadi dalang disebalik perpecahan PKR?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.