Fitnah terhadap saya semata-mata cubaan gagalkan kerja pasukan petugas 1MDB – Johari

PETALING JAYA: Pengerusi pasukan petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyangkal dakwaan beliau pernah meminta “fi melobi” jutaan ringgit daripada kerajaan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan saman sivil terhadap Goldman Sachs di Amerika Syarikat (AS).

Ahli Parlimen Titiwangsa itu juga menolak sindiran bahawa beliau terbabit dalam kononnya, komplot untuk membunuh watak bekas perdana menteri itu demi kepentingan politik.

“Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat misi badan petugas, iaitu untuk mencadangkan penyelesaian terbaik kepada kerajaan berhubung perolehan semula aset 1MDB.

“Saya juga tidak berminat membabitkan diri dalam sandiwara politik tuduh-menuduh dengan orang yang merahsiakan identiti diri ketika menyebarkan fitnah melalui blog yang tidak boleh dipercayai,” kata Johari kepada FMT.



Beliau menegaskan, perkara itu bagi menjawab mengenai penyiaran sebuah dokumen oleh sebuah blog, yang cuba membayangkan beliau menuntut fi melobi antara AS$20 juta dan AS$30 juta daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Bayaran itu kononnya sebagai imbuhan untuk persetujuan Johari mengetuai usaha kerajaan menuntut pampasan lebih tinggi daripada Goldman Sachs berhubung kerugian besar yang ditanggung 1MDB dalam penerbitan tiga bon secara berasingan.

Johari menyifatkan dokumen itu “sarat dengan pembohongan”.

“Fitnah terhadap saya ini semata-mata cubaan untuk menggagalkan kerja-kerja penting pasukan petugas ke arah mendapatkan semula dana awam yang dicuri, selain mengenal pasti sama ada pihak yang merunding terma perjanjian dengan Goldman Sachs bertindak cuai sehingga perjanjian berkenaan tidak mengutamakan kepentingan kerajaan, sungguhpun ia (kerajaan) merupakan pihak paling terkesan,” katanya.



Johari turut menafikan meminta sebarang bentuk bayaran daripada kerajaan dan menegaskan beliau “tidak mempunyai sebarang keinginan meraih apa jua untuk kepentingan diri”.

Beliau juga tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai kewujudan dokumen yang dimaksudkan.

“Saya menafikan sebarang pembabitan dalam apa jua penyediaan (dokumen). Saya juga tidak pernah dirujuk atau ditanya mengenai kandungannya.

“Saya juga tidak tahu-menahu mengenai pembentangan sebarang dokumen seperti ini, sama ada di peringkat Kabinet atau mana-mana jawatankuasa mahupun panel,” katanya.

Johari menegaskan, beliau tidak memegang sebarang peranan dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) itu turut menolak dakwaan beliau menyertai sebarang komplot untuk membunuh imej peribadi Muhyiddin bagi mengaut kelebihan politik bagi dirinya.

Katanya, beliau berjumpa Muhyiddin, bersama Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz dan Peguam Negara Idrus Harun pada 30 Jun 2020 di Pejabat Perdana Menteri untuk berbincang tuntutan yang perlu diperolehi daripada Goldman Sachs.

Menurut Johari, pada 3 Julai, iaitu tiga hari susulan perbincangan itu, beliau menghantar cadangannya secara bertulis kepada Muhyiddin.

Dalam kertas cadangan itu, Johari menghuraikan keperluan kerajaan memfailkan saman sivil terhadap Goldman Sachs di AS.

“Cadangan bertulis saya sama sekali tidak mengandungi sebarang rujukan kepada ‘fi lobi’ atau apa jua bentuk fi yang saya dituduh menuntut,” katanya.

Johari berkata, berdasarkan pemahamannya, cadangan bertulis itu diajukan oleh Muhyiddin kepada Idrus pada 15 Julai 2020.

Bagaimanapun pada 24 Julai 2020, kerajaan ketika itu sudah pun menandatangani dokumen “Points of Agreement” dengan Goldman Sachs.

Ia disusuli pemeteraian perjanjian pada 18 Ogos 2020 yang merangkumi semua terma penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Johari berkata ketika itu, beliau terkejut dengan betapa pantasnya perjanjian itu dipersetujui oleh kerajaan.

“Bayaran modal pokok bon hanya perlu dilunaskan pada Mei 2022, bermakna kerajaan mempunyai tempoh cukup selesa untuk berunding (dengan Goldman Sachs),” kata beliau.

Dua minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau bersetuju dengan pandangan badan petugas bahawa kerajaan sepatutnya memperolehi pampasan jauh lebih besar daripada Goldman Sachs, berbanding apa yang dipersetujui.

“Dari awal, saya anggap ia (perjanjian) dibuat secara gopoh-gapah, maka ia timbulkan banyak persoalan oleh kelompok awal dahulu (kerajaan terdahulu),” kata Anwar menurut Utusan Malaysia.

Dalam wawancara dengan Bloomberg Television Januari lalu, Anwar mendakwa Goldman Sachs mencabul terma perjanjian penyelesaian dan menggunakan kekuatan kewangannya untuk menetapkan syarat.

Pada 27 Feb lalu, Johari memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia menanggung kerugian amat besar dalam perjanjian itu dan menggesa kerajaan merungkai semula persetujuan berkenan selain menyiasat peranan pihak yang mewakili Putrajaya dalam rundingan dengan Goldman Sachs.

Pada 9 Mac, Anwar memberitahu Parlimen, beliau bersetuju dengan pendirian Johari bahawa bayaran penyelesaian RM2.5 bilion yang dirunding oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin terlalu rendah apabila mengambil kira kerugian kira-kira USD7 bilion (RM31 bilion) yang ditanggung kerajaan.

Keesokannya, perdana menteri mengumumkan pelantikan Johari untuk mengetuai pasukan petugas bagi menyelesaikan beberapa isu dalam memperoleh kembali aset 1MDB.

Setakat ini, dua eksekutif kanan Goldman Sachs disabit kesalahan di AS berhubung skandal 1MDB.

Pada Ogos 2018, Tim Leissner mengaku salah mengubah wang haram yang menyalahi undang-undang antirasuah negara itu. Beliau kini menunggu hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.

Mac lalu, susulan pengakuan bersalah itu, beliau diarah mengembalikan wang AS$43 juta dan saham bernilai lebih AS$200 juta kepada kerajaan AS.

Pada bulan sama, Roger Ng, yang mengetuai operasi Goldman Sachs di Malaysia, dihukum penjara 10 tahun selepas disabit kesalahan atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Beliau juga diarah mengembalikan AS$35.1 juta kepada kerajaan AS.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker