COVID-19 : Ben Amir berjaga-jaga biarpun ujian negatif
KUALA LUMPUR: Disahkan bebas daripada COVID-19, pelakon Ben Amir terus mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri.
Selain terus berkurung di rumah, Ben atau nama sebenar, Muhammad Amir Sabaruddin bercadang menjalani ujian saringan kedua selepas tempoh kuarantin dua minggu berakhir.
“Saya buat ujian saringan minggu lalu. Dalam tempoh sehari, keputusannya diterima. Alhamdulillah, saya didapati negatif. Buat masa ini, saya masih lagi kuarantin di rumah dengan berbaki empat hari lagi.
“Walaupun saya bebas COVID-19 dan tidak menunjukkan gejala, namun sebagai langkah berjaga-jaga, saya berhasrat mengambil ujian saringan sekali lagi sebaik tempoh kuarantin tamat.
“Bukan sangsi, saya cuma mahu pastikan diri ini bebas sepenuhnya daripada virus itu. Walaupun tidak nampak gejala, tidak semestinya kita tidak terkena jangkitan,” katanya kepada BH Online.
Bulan lalu, Ben, 29, menyertai kru produksi drama rantaian Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland.
Semalam, pengarah drama itu, Rahila Ali dan pelakon, Puteri Aishah serta empat anggota produksi lain disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari Scotland pada 31 Mac lalu.
Mengulas perkara itu, Ben yang pulang beberapa hari lebih awal daripada kumpulan produksi, simpati atas apa yang berlaku.
“Saya terkejut dan simpati dengan nasib menimpa mereka. Kami pernah makan bersama dan menetap dalam rumah sama.
“Kita doakan sahaja mereka segera sembuh. Semoga kita kuat menghadapi ujian dan dijauhkan daripada wabak ini,” katanya yang popular dengan drama Sweet Dreams ini.
Ben turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan keadaan dirinya.
“Ramai yang menelefon saya bertanya khabar. Saya minta maaf jika ada panggilan yang tidak dapat dilayan. Ketika itu, emosi saya tidak begitu stabil.
“Selepas keadaan tenang, barulah saya sedia mengeluarkan kenyataan dan menghebahkan berita di laman sosial. Terima kasih kerana sudi mendoakan kesejahteraan saya,” katanya.
Biarpun aktiviti seni terbantut berikutan penggambaran drama ditangguhkan, aktor tinggi lampai ini reda kerana baginya kesihatan diri lebih utama.
“Sepatutnya selepas penggambaran drama Demi selesai, saya mula bekerja untuk drama siaran Ramadan. Namun selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dilaksanakan, semua penggambaran ditunda.
“Bagi saya, kalau mahu memulakan penggambaran, biarlah situasi sudah betul-betul pulih. Sebagai pelakon, kita mahu jaminan daripada segi keselamatan. Untuk apa kita teruskan penggambaran jika mengancam kesihatan kami,” katanya.