Cradle Fund-Saksi pendakwaan tukar keterangan

Shah Alam- Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa pegawai sains daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menukar keterangannya mengenai ‘petrol’.

Peguam yang mengetuai pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Aznor Sheda Shamsuddin, saksi ke-14 pendakwaan (PW14) menukar keterangannya selepas dipanggil semula pada tahun ini buat kali kedua.

“PW14 berkata beliau tidak mempunyai pangkalan data rujukan dan itulah sebab beliau menggunakan petrol baharu sebagai standardnya tetapi ketika dipanggil semula beliau berkata beliau ada pangkalan data rujukan.

Beliau berkata, ia adalah amalan beliau untuk menggunakan petrol baharu sebagai rujukan atau petrol standard dan ketika dipanggil kembali dan pemeriksaan semula beliau tercakap beliau ada rujukan petrol yang telah diluluhawa dalam pangkalan data beliau,” katanya dalam hujanan balas di akhir kes pendakwaan hari ini.

Aznor Sheda datang ke mahkamah dua kali pada 2019 dan tahun ini selepas mendapatkan kaedah ujiannya.

Beliau adalah satu-satunya saksi pendakwaan yang memberitahu mahkamah bahawa sampel pada dinding bilik Nazrin dibunuh mengandungi petrol.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, ahli kimia daripada Jabatan Kimia telah pergi ke premis terbabit serta mengambil sampel dan mendapati tiada kesan petrol.

“Itu amatlah penting. Orang kedua yang mendapati tiada petrol ialah pakar patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng (PW46). Beliau tidak mendapati ada bau petrol pada jasad semasa bedah siasat. Ia adalah sebahagian daripada bedah siasat.

“Kategori ketiga bukan manusia tetapi dua anjing – tidak mengesan sebarang petrol dan pendakwaan gagal untuk memanggil pengendali anjing berkenaan atau menawarkannya. Ini adalah kesimpulan yang tidak lengkap kerana kami boleh mengemukakan fakta menarik menerusi beliau bagaimana memastikan anjing kendaliannya boleh mengesan sekiranya ada petrol.

“Mereka tidak memanggilnya. Kesimpulannya ialah sekiranya mereka memanggil pengendali anjing itu dia akan memberitahu adalah pasti tiada petrol di situ oleh kerana itu anjing saya tidak dapat mengesannya,” katanya.

Muhammad Shafee selanjutnya berhujah pegawai JBPM tidak dapat memberikan satu teori bagaimana kebakaran itu bermula.

“Pendakwaan tidak dapat menjelaskan bagaimana sampel A boleh rentung, kenapa itu juga bukan satu titik permulaan,” katanya.

Balu Nazrin, Samirah Muzaffar, 47 dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 19 dan 16 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin di kediamannya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

Hujahan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim bersambung pada 22 April.

METRO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker