Skuad dirombak tunjuk langkah positif – Klopp

London: Jurulatih Liverpool, Juergen Klopp berkata, keputusan seri 0-0 di Chelsea, awal pagi tadi, adalah ‘langkah kecil ke landasan tepat’ selepas dibelasah 1-4 oleh Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu lalu.

Keputusan itu turut memberi sedikit harapan apabila berdepan pendahulu liga, Arsenal, Ahad ini.

“Setiap kejayaan bermula dengan menjadi pasukan yang sukar ditewaskan dan kami perlu menjadi pasukan yang sukar ditewaskan semula,” kata Klopp selepas pasukan yang dirombaknya nyaris ditewaskan Chelsea.

“Jika kami sukar ditewaskan menentang Arsenal, kami akan menang perlawanan itu. Jika tidak, Arsenal akan mengatasi kami,” katanya menjelang kunjungan Gunners ke Anfield.

Klopp melakukan enam rombakan terhadap pasukan yang tewas di tangan Manchester City, Sabtu lalu, termasuk menukar tiga pemain pertahanan dan menggugurkan Mohamed Salah serta Trent Alexander-Arnold dan situasi itu disifatkannya sebagai cabaran sebenar buat pemain.

Selepas beberapa kali hilang penguasaan bola pada awal permainan, dia kemudian memuji pemainnya kerana berjaya mengatasi masalah itu.

“Bukan aksi yang menakjubkan, tetapi ia adalah langkah kecil menuju ke landasan yang sebenar,” kata Klopp mengulas mengenai aksi itu.

Keputusan seri itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga kelapan liga, tujuh mata di belakang Tottenham Hotspur yang menduduki tangga keempat liga.

“Saya lihat banyak cabaran, pemain melakukan bentesan dan itu yang kami perlukan,” kata Klopp.

“Itu aspek yang akan kami bina. Jika semuanya tidak berlaku mengikut kehendak anda, kamu perlu berjuang dengan cara ini dan terus melangkah, Ada masa langkah kecil, ada masa langkah besar dan ini adalah langkah kecil.”

Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker