Kenyataan Permohonan Maaf kepada YB Siti Zailah dari Puan Nicole Wong Ketua Pemuda MCA

Kenyataan Permohonan Maaf kepada YB Siti Zailah

1. Petang tadi, saya telah melayangkan suatu “tweet” sebagai balasan kepada artikel berita terbitan Malaysiakini yang bertajuk “SIS : Underlying tone in Siti Zailah’s ‘advisory’ video wrong”. Tweet asal saya yang ditujukan kepada YB Siti Zailah adalah berdasarkan kandungan berita Malaysiakini tersebut, dan tidak mengambil kira video YB Siti Zailah.

 



2. Selepas menonton video “Rumah Tangga Bahagia Fasa PKP” YB Siti, saya tidak lagi bersependapat dengan Malaysiakini bahawa kenyataan-kenyataan beliau adalah tidak sesuai. Dalam video tersebut, YB Siti hanya memberikan nasihat umum dan holistik mengenai bagaimana untuk menguruskan konflik rumah tangga semasa PKP.

3. Dalam video yang sama, beliau juga menggesa mangsa keganasan rumah tangga untuk meminta bantuan, melalui helpline yang dikendalikan oleh kementerian. Beliau juga menjelaskan bahawa semua aduan yang diterima buat masa ini telahpun diselesaikan.

4. Oleh yang demikian, saya dengan rendah diri ingin memohon maaf kepada YB Siti Zailah. Saya telah melakukan kesilapan dalam membuat penilaian dengan terlalu cepat dan hanya berdasarkan satu sumber. Kesalahan ini adalah kesalahan saya seorang saja dan ianya tidak melibatkan pendirian Parti saya.

5. Saya juga ingin menegaskan bahawa kenyataan ini bukanlah suatu alasan untuk ahli politik muda seperti saya untuk mengulangi kesalahan yang sama lagi. Saya akan berwaspada sebelum saya membuat sebarang kenyataan di media sosial saya pada masa akan datang.



6. Saya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengulangi kesilapan saya dengan membuat kesimpulan secara sembrono tanpa meneliti sumber maklumat terlebih dahulu.

7.Pada waktu yang genting ini, kita hendaklah menangani wabak COVID-19 secara tabah dan bersatu. Kita tidak harus terganggu daripada menghadapi isu pandemik. Oleh itu, pemuda MCA akan terus melaksanakan tanggungjawab kami dalam membantu sektor-sektor masyarakat yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Dengan itu, saya meminta maaf di atas perbuatan saya.

Sekian, terima kasih.



Yang benar,
Nicole Wong

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button