PKP fasa tiga: Jumlah tentera bertugas ditambah
KUALA LUMPUR: Jumlah anggota tentera ditambah bagi membantu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga bermula esok.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata bilangan anggota turut ditambah di sekitar Masjid India di sini, yang kini dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai hari ini hingga 28 April.
“Memang kami (ATM) ada tambah anggota kami di situ (Masjid India) dan setakat ini, lebih 7,000 anggota terlibat (menguatkuasa PKP) di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas persiapan anggota tentera susulan pelaksanaan PKP fasa ketiga bermula esok sehingga 28 April ini.
Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan menguatkuasakan PKPD di Masjid India di sini dan kawasan sekitarnya mulai hari ini hingga 28 April.
PKPD kelima itu membabitkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India. – BERNAMA