Stoking kalimah ALLAH: Jakim beri amaran keras

Oleh – Syeikh Baran


Stoking kalimah ALLAH: Jakim beri amaran keras
Jakim menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan sarung kaki tertera kalimah ALLAH yang tular baru-baru ini.

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) memberi amaran keras kepada pengurusan KK Supermart and Superstore Sdn Bhd berhubung penjualan sarung kaki tertera kalimah ALLAH, supaya isu melibatkan sensitiviti keagamaan tidak berulang lagi.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart and Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai semalam.

Hakimah berkata, dalam pertemuan tersebut, pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenai isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah seperti yang tular baru-baru ini, dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama itu berulang.



“Pihak KK Supermart and Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemas kini Prosedur Operasi Standard syarikat,” katanya.

Beliau berkata, Jakim menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan sarung kaki tertera kalimah ALLAH yang tular baru-baru ini.

Hakimah berkata, Jakim sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan memandang serius terhadap isu tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan malahan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

“Jakim memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.



“Dalam masa yang sama, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker