Ketua juruwang didakwa pecah amanah RM600,000, suami dituduh berpakat

18/02/2021 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Seorang ketua juruwang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM600,000 untuk kegunaan sendiri.

Tertuduh, Nor Haslinda Ramli, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Nor Haslinda didakwa memindahkan wang syarikat Sandu Enterprise Sdn Bhd., ke dalam simpanannya antara Mac 2017 hingga Februari 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Diamond Square off Jalan Gombak, di sini dan dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan manakala Nor Haslinda diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, suami Nor Haslinda, Mohd Firdaus Sani Mohd Johari, 37, didakwa telah melakukan pakatan jahat jenayah bersama isterinya bagi melakukan pecah amanah membabitkan wang sama di tempat dan masa serupa.

Lelaki itu yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zaharil yang turut mewakili Mohd Firdaus memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya seorang pemegang kad Orang Kelainan Upaya kerana menghadapi masalah bipolar disorder tahap dua.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 April sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Shamsudin.

MACC seizes RM600,000 in connection with probe over stolen party funds

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker