Jual alat ganti telefon bimbit tiruan, empat premis diserbu

 

Oleh Pena Merah

Jual alat ganti telefon bimbit tiruan, empat premis diserbu
Anggota penguat kuasa memeriksa aksesori tiruan di premis di Bandar Perai Jaya, semalam. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

Kegiatan empat buah premis yang disyaki menjual barangan alat ganti dan aksesori telefon bimbit tiruan mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di Bandar Perai Jaya, Butterworth di sini semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan dijalankan sepasukan penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di keempat-empat premis terbabit, pihaknya menemui barangan yang disyaki tiruan terdiri daripada alat ganti dan barangan aksesori telefon bimbit.

“Oleh itu, kita telah menyita sejumlah 2,938 unit alat ganti telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM58,896 dan 964 unit aksesori terdiri daripada pelbagai jenama antaranya Samsung, Xiaomi, Huawei dan Redmi berjumlah RM9,320.

“Jumlah sitaan bagi kesemua barangan membabitkan keempat-empat premis ini dianggarkan bernilai RM 68,216.

“Dalam serbuan sama, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jegan menambah, sabit kesalahan individu boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan mengguna pakai cap dagangan berdaftar secara salah atau
dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya pula, denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

“Bagi syarikat pula, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barangan mengguna pakai cap dagangan berdaftar secara salah manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan,” ujarnya.Kosmo Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker