205 rakyat Malaysia dari Peru, Bolivia, Sri Lanka dan India pulang ke tanah air

KUALA LUMPUR, 19 April — Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Lima, Peru telah menghantar pulang 26 rakyat Malaysia yang terkandas di Peru dan Bolivia semalam.

Wisma Putra, dalam hantaran di laman Facebook rasminya, berkata kesemua mereka dibawa pulang menggunakan pesawat Amaszonas yang disewa khas oleh Malawakil Lima dan melalui Sao Paulo, Brazil.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan misi ini, terutamanya Malawakil Brasilia, kerajaan Peru, Bolivia dan Brazil,” katanya.



Menurut Wisma Putra, pesawat berkenaan yang bertolak dari La Paz, Bolivia dan kemudiannya singgah di Lima, turut membawa rakyat dari 11 negara lain iaitu 22 dari Jepun, Thailand (12), Brazil (12), China (3), Sweden (3), Australia (3), Korea Selatan (2), Finland (1), Chile (1), Itali (1) dan seorang penduduk tetap Jepun warganegara Peru.

Terdahulu, Wisma Putra turut memaklumkan 179 rakyat Malaysia yang terkandas iaitu 82 orang di Colombo, Sri Lanka dan 97 lagi di Chennai, India telah dibawa pulang ke tanah air menaiki pesawat Malindo Air semalam.

“Terima kasih Malawakil Colombo dan Chennai di atas kerjasama yang telah diberikan,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button