Bayi enam bulan maut tercampak keluar kereta

JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan maut selepas tercampak keluar daripada kereta, manakala enam yang lain cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 161.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Tangkak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata kemalangan berlaku pada jam 8.30 malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika kenderaan PERODUA Alza yang dipandu bapa mangsa berusia 28 tahun bersama isterinya, 28, dan lima yang lain datang dari arah pekan Tangkak menghala ke Bukit Gambir.

“Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta yang dinaiki semua mangsa dari arah pekan Tangkak menghala ke Bukit Gambir hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik ke kawasan berumput.

“Bayi itu terpelanting keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang lain mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Fadhil berkata, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat, manakala enam individu itu pula turut menerima rawatan di hospital sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker