KUFC bincang gaji pemain selepas PKP tamat

PASIR MAS, 19 April — Kelab bola sepak Kelantan United (KUFC) akan berbincang dengan pemain berhubung pembayaran gaji sekiranya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bagi tempoh yang lama.

Presidennya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata setakat ini pihaknya masih membayar penuh gaji pemain seperti terkandung dalam kontrak.

“Sekiranya tempoh PKP berterusan, kita mungkin melihat semula soal gaji pemain. Kita akan membuat penilaian secara keseluruhan termasuk dari segi kewangan persatuan…kita akan berbincang dengan pemain dan jurulatih sebelum keputusan dibuat.

“Setakat ini tiada pemotongan gaji pemain dan barisan jurulatih walaupun saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kutipan Hasil Projek Kelompok Pemulihan Tanah Terbiar di Kampung Slow Terliar, Pasir Mas, di sini, hari ini.



Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan menangguhkan perjalanan Liga-M yang bermula penghujung Februari lepas, susulan penularan wabak COVID-19.

Mengulas lanjut, Che Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, berkata pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat terkini berhubung status Liga-M bagi membuat perancangan selepas ini.

“Perkara itu penting kepada kami untuk melakukan perancangan terutamanya dari segi kewangan kelab bagi membolehkan kelab membuat satu keputusan yang adil kepada semua pihak terlibat,” katanya.

Selepas empat perlawanan sebelum liga ditangguhkan, KUFC berada di kedudukan kedua Liga Premier selepas mengumpul sembilan mata, hasil tiga kemenangan dan satu kekalahan.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button