Peniaga kosmetik bergolok-gadai ganti wang mangsa

Kuala Terengganu: Seorang peniaga barangan kosmetik yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan skim pelaburan hari raya kini terpaksa bergolok-gadai untuk menggantikan semula wang mangsa lain yang terpedaya dengan sindiket terbabit membabitkan kerugian lebih RM4 juta.

Sehingga kini, Nurul Natrah Idayu Ramlee, 31, memaklumkan dia sudah membuat pembayaran hampir RM800,000 kepada mangsa lain yang mahu dirinya turut bertanggungjawab selepas dikatakan menjadi punca mereka menanggung kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Malah, Natrah berdepan kecaman daripada mangsa-mangsa lain apabila menuduh dirinya turut bersubahat dengan sindiket penipuan terbabit.

Natrah berkata, dia amat buntu dan tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada semua mangsa lain yang terbabit bahawa dirinya juga menjadi mangsa sindiket berkenaan.



“Saya akui ia bermula daripada saya selepas mengiklankan ‘pelaburan’ berkenaan di status WhatsApp dan mereka (mangsa) akan memindahkan duit apabila berminat berdasarkan link diberikan dengan wang dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

“Memang duit masuk ke dalam akaun saya, tetapi saya memindahkannya ke beberapa akaun bank seperti diarahkan individu yang dikenali sebagai ‘Datin Ida’.

“Demi Allah, duit itu tidak berada dalam tangan saya dan saya juga mangsa dalam kejadian ini kerana turut melabur RM100,000,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ketika menceritakan semula kejadian itu, Natrah berkata, dia menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu terbabit yang menawarkan pelaburan hari raya pada 22 April lalu.



Katanya, dia mempercayai pelaburan yang ditawarkan selepas ‘Datin Ida’ itu menyebut nama seorang individu yang sememangnya dikenalinya.

“Jika diikutkan, ‘Datin Ida’ berjanji akan memberikan kembali modal bersama keuntungan pada 28 April lalu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM7 juta namun selepas kejadian itu, ‘Datin Ida’ gagal dikesan menyebabkan saya membuat laporan polis pada 6 Mei lalu.

“Saya akui apa yang berlaku ini kerana dikaburi dengan pulangan pelaburan yang lumayan dan berkongsi mengenainya di status WhatsApp sehingga menyebabkan ramai menjadi mangsa.

“Saya tak nafikan ada diberi bonus RM190,000 oleh ‘Datin Ida’ kerana dikatakan berjaya menarik ramai individu dan itu membuatkan saya lebih yakin dengan pelaburan ini apatah lagi rakan yang disebut turut memaklumkan dia mendapat keuntungan daripada pelaburan berkenaan,” katanya.

Katanya, bonus sebanyak RM190,000 yang diterimanya kini terpaksa digunakan untuk membayar wang pelaburan mangsa lain.

“Saya bukan sahaja menggunakan wang itu, tetapi turut menggunakan wang simpanan dan menjual barang kemas yang ada sehingga kini sudah mengeluarkan duit RM800,000,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker