MPV klon Mitsubishi Grandis, nombor plat Proton Saga

Oleh – Syeikh Baran


MPV klon Mitsubishi Grandis, nombor plat Proton Saga
PEGAWAI JPJ Selangor memeriksa MPV Mitsubishi Grandis yang disyaki klon dan menggunakan nombor pendaftaran palsu. FOTO Ihsan JPJ

Seorang lelaki ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati memandu kenderaan klon dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, hari ini.

Peniaga berusia 33 tahun yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Grandis itu ditahan di Kilometer 15.1 Lebuhraya Persekutuan, arah Shah Alam di sini, pada 6.30 petang.



Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, sepasukan pegawai dan anggota yang menjalankan rondaan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) melihat kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan lalu menahannya untuk pemeriksaan.

“Hasil semakan menggunakan aplikasi Smed dan bantuan Bilik Kawalan JPJ mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu iaitu nombor asal didaftarkan bagi kereta Proton Saga dan mengesyaki kenderaan itu adalah klon.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tiada cukai jalan dan insurans, malah pemandu juga tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Azrin berkata, pemandu kenderaan dikenakan tindakan atas kesalahan tiada lesen memandu, mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain, menggunakan kenderaan tidak berdaftar dan tiada cukai jalan serta insurans.



Katanya, JPJ turut menyita kenderaan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button