E-Pembelajaran: Peranan Kerajaan, Guru Dan Ibu Bapa

PENULARAN pandemik COVID-19 telah membuka lembaran dan cabaran baharu kepada warga pendidik. Penutupan sekolah dan pusat pengajian bukannya alasan yang menghalang proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Bagi memastikan pelajar tidak keciciran mendapatkan pembelajaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), warga pendidik perlu mengharungi kebiasaan baharu ‘the new normal’ dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Robert Jenkins, UNICEF Global Chief of Education menyatakan “Schools in the majority of countries worldwide have closed. It is an unprecedented situation and unless we collectively act now to protect children’s education, societies and economies will feel the burden long after we’ve beaten COVID-19. In the most vulnerable communities, the impact will span generations”.

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dan penundaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta Sijil Tinggi Agama Malaysia kepada suku pertama tahun 2021, melegakan warga pendidik kerana mereka mempunyai masa untuk memikirkan metodologi dan alternatif baharu agar PdP dapat diteruskan dan tiada pelajar yang keciciran.



E-pembelajaran atau ‘e-learning’ bukan lagi pilihan, tetapi sudah menjadi keperluan. KPM telah menyarankan agar warga pendidik memanfaatkan dan mengaplikasikan e-pembelajaran sebagai alternatif untuk mengajar, walaupun agak sukar dengan keterbatasan infrastruktur serta infostruktur, tanggungjawab dan amanah sebagai pendidik tetap diteruskan.

Ini dibuktikan pada 16 April lalu, Search trends untuk frasa ‘Google Classroom’ di Malaysia meningkat ke tangga ke-2 dunia, mendahului negara-negara maju yang memiliki sistem dan teknologi e-pembelajaran yang lebih canggih.

Tahniah, saya ucapkan kepada seluruh warga pendidik atas kecaknaan anda menyantuni para pelajar melalui pembelajaran maya dalam tempoh PKP. Kalian insan yang hebat.

Selain ‘Google Classroom ’ warga pendidik turut memanfaatkan media sosial seperti whatsapp dan telegram untuk menyampaikan pelbagai maklumat, arahan dan latihan. Namun, tidak semua pelajar mendapat manfaat disebabkan dua kekangan utama iaitu tiada capaian internet, lemah atau tidak stabil dan kemampuan ibu bapa menyediakan gajet seperti komputer peribadi serta tablet.



Meskipun Jabatan Statistik Negara pada 2019 menunjukkan 90.1 peratus isi rumah mempunyai capaian internet, tetapi isu internet tidak stabil sangat kritikal terutamanya di luar bandar. Pada 2018, jurang agihan internet di antara bandar dan luar bandar ialah 70:30. Jurang agihan ini memberi kesan kepada jurang pencapaian akademik pelajar bandar, luar bandar dan pedalaman.

Bagi mengelak berlakunya diskriminasi pendidikan, KPM perlu mengeluarkan garis panduan e-pembelajaran yang jelas bagi memberikan keadilan kepada semua pelajar.

UMNO, BN dan Muafakat Nasional mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh digunakan oleh pihak kementerian sepanjang tempoh PKP:

• E-pembelajaran dikendalikan secara tidak rasmi dan kementerian menetapkan tempoh masa pelajar mengikuti e-pembelajaran. Contohnya, Singapura menetapkan pelajar sekolah rendah akan belajar di rumah selama empat jam sehari, pelajar sekolah menengah lima jam dan pelajar institut pengajian tinggi enam jam. Perkara ini penting bagi mengelak kemudaratan akibat terlalu lama menghadap skrin komputer atau laptop.



• Dalam keadaan capaian internet yang stabil dan baik, guru dan pelajar digalakkan menggunakan kaedah e-pembelajaran segerak atau ‘synchronous’ seperti Zoom, Webex dan Google Meet. Ujian dalam talian pula boleh dilakukan melalui Kahoot, Google Form atau Quizizz .

• Bagi kawasan capaian internet yang rendah dan tidak stabil, digalakkan menggunakan e-pembelajaran tidak segerak atau ‘asynchronous’ seperti Google Classroom dan Edmodo. Interaksi pembelajaran berlaku bukan secara ‘real time’ guru dan pelajar tidak perlu hadir pada masa yang sama. E-pembelajaran dirakam dalam bentuk audio atau video dan kemudian dimuat naik ke aplikasi Facebook, Youtube, WhatsApp, Telegram, e-mel dan dikongsikan dengan pelajar.

• Di kawasan tiada capaian internet atau mempunyai capaian sangat lemah, guru dan pelajar disarankan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai medium PdP walaupun agak terbatas penggunaannya. Diharapkan syarikat telekomunikasi dapat merendahkan kadar caj SMS di sepanjang tempoh PKP ini.

• Menambah jumlah mata pelajaraan dan saluran TV Pendidikan serta kumpulan sasar pelajar yang dapat mengikuti pembelajaran melalui TV Pendidikan seperti saluran TV Okey dan saluran-saluran TV swasta yang lain.



Cabaran utama kementerian adalah mengoptimumkan sepenuhnya e-pembelajaran kepada hampir 5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di 10,208 sekolah dengan sokongan dan dokongan 400 ribu warga pendidik di seluruh negara. Satu tugasan dan tanggungjawab yang besar, oleh itu saya menyarankan kementerian melancarkan kempen #LearningAtHome, kempen seperti ini telah dilancarkan oleh UNICEF bagi memastikan proses PdP tetap berjalan dengan bantuan dan bimbingan daripada ibu bapa di rumah.

Tempoh PKP ini adalah masa yang terbaik bagi ibu bapa mengaplikasikan #LearningAtHome dengan membimbing dan membantu anak-anak membaca, menghafal dan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru di samping menjadikan #icanteachmychild sebagai proses pembelajaran tidak formal di rumah. Kedatangan bulan Ramadan juga adalah peluang terbaik bagi proses pembentukan karakter atau ‘character building’ anak-anak di rumah. Bukankah “Ibu bapa ialah guru pertama anak-anak, dan rumah ialah sekolah pertama mereka”.

Pembentukan keperibadian dan karakter yang baik boleh dilakukan dengan menggunakan metodologi berikut:

• Mendidik dengan contoh tauladan yang baik seperti bapa menjadi imam solat berjemaah, terawih, tadarus dan tadabbur al-Quran sepanjang Ramadan.



• Mendidik dengan kebiasaan dan kelaziman seperti membiasakan anak-anak melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, menolong ibu di dapur dan membersihkan rumah.

• Mendidik dengan nasihat dan bimbingan seperti membimbing anak-anak bersahur, berpuasa dan sebagai muazzin solat di samping memberikan nasihat dengan penuh hikmah.

• Mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan seperti memerhatikan anak-anak dari aspek percakapannya, perbuatannya sama ada betul atau tidak, agar dengan pemerhatian dan pengawasan yang dibuat dapat membantu mendidik dan membaiki kesilapan mereka.

• Mendidik dengan denda dan hukuman, jika berlaku pengulangan kesalahan yang sama berkali-kali, hukuman dikenakan bukan disebabkan marah tetapi sebagai satu didikan.



Dalam mendidik anak-anak Rasulullah SAW sentiasa menjadikan ‘Qudwah Hasanah’ sebagai keutamaan dan mengimbangi antara spiritual, intelektual, fizikal dan emosi. Imam al-Ghazali (450H-505H) ada menyebutkan “Anak-anak adalah amanah kepada ibu bapa, hatinya yang bersih umpama permata yang sangat berharga, jika dia dibiasakan dengan perkara yang baik dan dididik, dia akan membesar berdasarkan kebiasaan dan pendidikan yang diterima dan bahagia di dunia dan akhirat”.

Semoga Ramadan kali ini menjadi suatu kebiasaan baharu ‘the new normal’ bagi mendepani hari-hari mendatang yang lebih mencabar.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#LearningAtHome
#icanteachmychild
#stayhomestaysafe
#kitajagakita
#secangkirkopi52

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button