Agong berkenan adakan sesi Pra-Kabinet kali kedua dengan Perdana Menteri menerusi sidang video

KUALA LUMPUR, 22 April — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengadakan sesi Pra-Kabinet kali kedua bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara.

Istana Negara dalam catatan laman Instagram rasminya menyatakan bahawa mesyuarat ini diadakan berikutan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan isu semasa,” menurut catatan itu, hari ini.

Secara lazimnya, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Istana Melawati untuk mesyuarat Pra-Kabinet.



“Namun YDPA telah berkenan supaya mesyuarat Pra-Kabinet diteruskan menerusi sidang video semasa PKP ini berjalan dan ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat,” menurut catatan itu lagi.

Pada Rabu lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan sesi sidang video julung kali bersama Perdana Menteri juga dari Istana Negara.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button