Amelia dapat restu datuk

Kuala Lumpur: Mendapat restu daripada datuknya menguatkan lagi hasrat pelakon Amelia Henderson, 27, bertanding dalam Miss Universe Malaysia pada tahun ini.

Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson berkata ia berikutan ada sesuatu berlaku dalam keluarganya baru-baru ini membuatkan dia rasa mungkin patut mengambil serius mengenainya.

“Atuk saya sudah 94 tahun yang sudah kabur pandangannya dan kadang-kadang tak berapa nampak saya setiap kali datang berjumpanya. Pendengaran dia pun kurang jelas.



“Ibu saudara saya ada hantar sebuah video bertanya kepada atuk sama ada patutkah saya sertai Miss Universe Malaysia? Dia terus setuju dan cakap saya patut cuba nasib.

“Lagilah saya tertarik nak masuk kerana bagi saya itu sebuah doa daripada atuk saya. Sekarang saya serba-salah kalau tak tunaikannya, bagaimana pula? Kita tengoklah macam mana,” katanya.

Pelakon filem Pulau itu akui banyak hal terutama kerja juga perlu dipertimbang sebelum menyertainya kerana dia tidak berhasrat melakukannya hanya suka-suka saja.

“Sebab sekarang banyak urusan kerja masih perlu saya fikir juga. Untuk mengambil kelonggaran pergi luar negara, jalani latihan, semestinya saya kena beri yang terbaik dan perlu tersusun,” katanya.



Pada masa sama, dia turut mengambil kira prinsip yang diperjuangkan dalam pertandingan itu. Terutama apabila menyentuh soal pemerkasaan wanita dalam membuat pilihan.

“Pada saya, pemerkasaan wanita merangkumi kemampuan dan kebolehan wanita untuk memilih. Saya rasa perkara itu sangat penting untuk seorang wanita merasakan dirinya perkasa.

“Saya tak nak buat sesuatu yang saya rasa diri tidak selesa. Tapi kalau saya ada kuasa memilih di situ, saya rasa itu yang akan menentukan keselesaan untuk betul-betul ambil keputusan menyertainya.

“Kalau pilihan saya tak didengari dan terpaksa melakukan sesuatu demi puaskan pihak tertentu, saya takkan masuk. Lebih baik saya fokus pada rezeki yang ada sekarang, sudah cukup,” katanya.



Organisasi Miss Universe kini membenarkan wanita bercerai, berkahwin dan ibu yang berusia 18 hingga 27 tahun bertanding dalam ratu cantik terbesar dunia itu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button