Kelantan United nafi mahu Liga-M dibatalkan

KOTA BHARU, 22 April — Kelantan United Football Club (KUFC) menafikan berita kononnya mahu saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, berkata pihaknya kecewa dengan laporan berita itu yang akan mendatangkan kesan negatif kepada kelab.

“Kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu dan hairan dari mana mereka mendapat sumber berita itu.

“Pihak kelab sentiasa mendapat garis panduan dan maklumat semasa daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung dengan status Liga- M musim ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.



Sebelum ini, sebuah portal berita sukan melaporkan KUFC antara empat pasukan yang didakwa mahu Liga-M dibatalkan musim ini.

Tiga pasukan lain ialah Sarawak, Kelantan The Red Warrios (TRW) dan Kuching FA.

Beliau berkata pihaknya patuh keputusan yang dilakukan oleh FAM, MFL dan pihak kerajaan berhubung dengan status Liga-M musim ini.

“Kami berharap pihak media lebih bertanggungjawab dengan laporan mereka dan perlu mendapatkan maklumat sahih tentang kelab melalui pegawai kelab yang dilantik.



“Media mesti memainkan peranan mereka dengan menyalurkan berita benar tanpa memetik dari sumber tidak sah kerana ia bukan sahaja memberikan maklumat salah malah turut membawa implikasi buruk kepada kelab secara keseluruhan,” katanya.

Katanya, pihak kelab mengharapkan Liga-M dapat diteruskan musim ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Jika liga dibatalkan, hampir 70 pemain dan pegawai pasukan akan tiada sumber pendapatan.

“Kita juga telah panggil wakil pegawai/pemain berbincang mengenai pemotongan gaji dan mereka amat bersetuju dengan garis panduan pemotongan yang cadangkan oleh pihak kelab,” tegasnya.



— BERNAMA.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button