Kenyataan media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng – Pelanjutan sekatan pergerakan di Singapura bukti PKP kita tepat
Tindakan pemerintahan Singapura mengumumkan pelanjutan sekatan pergerakan ke 1 Jun, membuktikan langkah kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu adalah tepat. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membut keputusan yang bijaksana dan tegas bagi membendung pandemik Covid-19 seawal mungkin pada waktu keemasan ketika itu.
Kerajaan bertanggungjawab melindungi kesihatan serta keselamatan nyawa rakyat jelata dan perlu mengambil keputusan dan pendekatan terbaik setelah mendengar nasihat pakar-pakar perubatan. Melihat kepada trend kes baharu jangkitan yang semakin reda dan menurun, usaha meratakan lengkuk pandemik telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam mencegah penularan, berkat tindakan tegas kerajaan dan Kementerian Kesihatan, dibantu dengan kerjasama bersungguh-sungguh orang ramai.
Memasuki hari ke-35 PKP, kes positif jangkitan juga menunjukkan penurunan konsisten kepada dua digit. Ini selain kerana pelaksanaan PKP yang awal dan tegas, juga disebabkan kerahan tenaga yang menyeluruh di pihak perubatan dan penjagaan, tentera dan polis yang bekerja keras di barisan hadapan siang dan malam tanpa rasa penat lelah.
Sekiranya kerajaan tidak melaksanakan PKP pada 18 Mac kemudian melanjutkannya, kita percaya pandemik ini akan menjadi sukar dikawal, dengan kadar jangkitan yang tidak dapat diturunkan secara berkesan, dan rantaian jangkitan mungkin tidak dapat diputuskan secara menyeluruh.
Orang ramai diseru supaya terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan terutamanya dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan, dengan duduk di rumah serta mengamalkan penjarakan sosial.