‘You can score, you can score’ kata semangat untuk KAKA

NAM DINH: “You can score, you can score (Awak boleh jaringkan gol, awak boleh jaringkan gol).”

Itu bisikan pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Brad Maloney kepada pemain tengah Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, sebelum muncul sebagai wira pasukan dengan menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Thailand 2-1, sekali gus memberikan Malaysia permulaan sempurna pada saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31.

Muhammad Nur Azfar yang lebih mesra disapa Kaka berkata bisikan semangat daripada Maloney, menjadi sebab utama beliau berlari ke arah jurulatih kelahiran Australia itu ketika meraikan jaringannya, yang merupakan gol kemenangan pasukan negara.

Katanya itu adalah perkara pertama yang menerjah fikirannya selepas mendapat kepercayaan untuk diturunkan sebagai pemain gantian, menggantikan penyerang Luqman Hakim Shamsudin ketika permainan berbaki lebih kurang 10 minit.

“Saya memang nak pergi kepada jurulatih Brad (Maloney) sebab susah bagi seorang jurulatih nak beri kepercayaan kepada pemainnya, dan beliau berikan peluang itu kepada saya.

“Sebelum saya masuk dia cakap you can score, you can score. Mungkin dia dapat rasakan sesuatu, dia tahu apa yang ada pada saya dan bagi saya bermain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan, di sini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Thien Truong di sini, semalam, Thailand terlebih dahulu di depan hasil jaringan penyerang Patrik Gustavsson pada minit ke-33, sebelum terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah menghampiri waktu rehat.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh anak buah Maloney untuk bangkit mencipta kemenangan pada babak kedua, menerusi gol penyamaan Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-61, sebelum Kaka mengesahkan kemenangan Malaysia dengan jaringan pada masa kecederaan.

Kaka, yang merupakan pemain Terengganu FC II berkata dia amat menghargai kepercayaan Maloney yang menurunkannya, sekali gus dapat membuktikan kemampuan yang dimiliki pada pertembungan itu.

“Ini yang saya idamkan dari dulu sampai sekarang, saya memang nak sangat beraksi di Sukan SEA. Sasaran pertama saya adalah bermain di Sukan SEA dan Alhamdulillah saya dapat peluang itu, walaupun masuk pada 10 minit terakhir. Gol saya bukan kerja saya seorang tetapi satu pasukan,” katanya.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata, sementara Laos dan Singapura berkongsi satu mata di kedudukan kedua dan ketiga, manakala Kemboja (keempat) dan Thailand tercorot.

Pasukan negara akan meneruskan cabaran dengan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan menutup saingan kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei, dalam misi muncul dua pasukan terbaik untuk mara ke separuh akhir.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker