Warga asing buat penduduk tempatan resah

a view of a city with tall buildings: ANGGOTA polis dan tentera membuat sekatan di hadapan Pangsapuri Seri Murni. FOTO Saifullizan Tamadi ©

“PENDUDUK tempatan sentiasa berada dalam keadaan resah dengan kehadiran warga asing yang ramai di kawasan ini,” kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Murni Fasa 2, Syed Mohd Khusyairi Syed Yaacob.

Syed Mohd Khusyairi berkata, lebih 3,000 penduduk di kawasan berkenaan dengan 70 hingga 80 peratus adalah warga asing terutama Rohingya dan Myanmar.

“Jumlah warga asing yang terlalu ramai menyebabkan penduduk tempatan merasakan seperti kami berada di negara mereka.



“Malah, sikap tidak bertanggungjawab mereka seperti tidak menjaga kebersihan dan banyak menyebabkan kerosakan harta benda di kawasan ini menyebabkan penduduk tempatan tidak selesa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kebanyakan warga asing tidak mengikut peraturan ditetapkan.

“Mereka (warga asing) dilihat lepak, berkumpul dan keluar beramai-ramai ketika tempoh PKP sebelum ini.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan ini, kebanyakan warga asing membuat bising kononnya sebagai tanda protes terhadap arahan itu,” katanya.



Sementara itu, Pengerusi (Penaja) Persatuan Penduduk Taman Sri Murni Fasa 3 Kuala Lumpur 2020 Puziah Yeop Haron, seramai 1,591 penduduk berada di dua blok kawasan berkenaan hasil bancian dilakukannya beberapa hari lalu.

“Di blok 58, terdapat 796 penghuni dengan 587 warga tempatan, manakala 209 adalah warga asing. Bagi blok 60 pula, seramai 795 penghuni membabitkan 607 warga tempatan, selebihnya 189 adalah warga asing.

“Jumlah itu hanya membabitkan individu yang berada di dalam rumah ketika ini dan tidak termasuk tiga keluarga yang tidak memberikan kerjasama ketika bancian,” katanya.

Katanya, setakat ini, kebanyakan warga asing mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa.



“Berdasarkan pemerhatian saya, sebahagian mereka mengikut peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan,” katanya.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button