Enam lelaki termasuk empat warga emas didenda RM800 kerana berhimpun untuk solat

KUALA KANGSAR, 23 April — Enam lelaki termasuk empat warga emas masing-masing didenda RM800 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhimpun di ruangan solat masjid untuk solat berjemaah minggu lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Rohaida Ishak yang bertindak sebagai Majistret menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh berusia antara 48 hingga 76 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

“Semua (tertuduh) berisiko tinggi kerana mempunyai macam-macam penyakit, jadi perlu faham mengapa kerajaan mengeluarkan PKP dan kamu semua tidak mungkin tidak tahu risiko tentang COVID-19. Media juga mengeluarkan statistik kes positif serta yang meninggal dunia.

“Bukan mahu mengehadkan solat berjemaah, ia memang bagus tetapi sekarang terpaksa tahan dalam matlamat untuk menghapuskan COVID-19,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa berhimpun di dalam kawasan tempat jangkitan bagi maksud keagamaan yang melanggar Peraturan 6(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang sedang berkuat kuasa mulai 15 April hingga 28 April.

Mereka  didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid Idrisiah Ke-ll, Kampung Sayong Tengah di sini pada pukul 8.40 malam, 16 April lepas yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil manakala semua tertuduh yang kelihatan tenang, diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Hanis Mohd Zaini.

Terdahulu, Hasyutantee memohon mahkamah mengenakan hukuman bersesuaian untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak berkumpul di masjid lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang menjelang tiba dalam tempoh pelaksanaan PKP bagi mencegah wabak COVID-19.

Nurul Hanis pula memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum atas faktor usia keenam-enam tertuduh yang kebanyakannya mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, gout dan urat saraf yang memerlukan mereka menjalani rawatan dari semasa ke semasa.

Beliau merayu hukuman minimum kerana kesemua tertuduh telah insaf dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hanya bekerja kampung dengan pendapatan rendah serta masih mempunyai tanggungan.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker