Kelas bahasa Inggeris terganggu, pelajar UiTM tumbuk bawang jadi bahan ketawa
SHAH ALAM, 23 April — Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi perhatian di laman sosial kerana menumbuk bawang ketika sedang mengikuti kelas bahasa Inggeris secara dalam talian.
Gelagat Nurul Amira Azhari, 22, disedari rakan-rakan sekelas yang tertawa melihat tindakan tersebut sebelum menularkannya di laman sosial.
Rakan sekelas Amira berkata, tindakan Amira pada awalnya disedari oleh pensyarah yang terdengar bunyi tumbukan batu lesung lalu kesemua pengikut kelas sidang video itu menumpukan perhatian pula kepada Amira yang sedang asyik menumbuk bawang.
“Dengan mikrofon dan kamera tak padam boleh pula Amira menumbuk bawang waktu kelas online. Mati saya weh…” kata Kingdaeneryz di Twitter.
Terdahulu, Amira yang dihubungi ProjekMM menjelaskan situasi itu berlaku tanpa disedarinya kerana menghadapi masalah capaian internet.
Menurut Amira, kesempatan menunggu lebih awal kelas digunakannya untuk menyediakan hidangan buat ibu bapa yang akan pulang kerja sekitar jam 10.30 pagi.
“Keadaan internet di rumah saya tidak stabil menyebabkan saya mengalami kesukaran ketika sesi pembelajaran atas talian sedang bermula.
“Lalu, saya mengambil kesempatan itu untuk melakukan kerja memasak sementara menunggu untuk masuk ke dalam video pembelajaran, seperti menumbuk bawang.
“Sedang saya melakukan kerja, saya tidak perasan kelas sudah bermula,” katanya.
Amira berkata, alasan itu diterima baik oleh pensyarah malah dia telah memohon memohon maaf di atas keterlanjuran itu.
Sementara itu, rakan sepengajian Amira yang lain berkata pensyarah mereka turut terhibur dengan gelagat menumbuk bawang oleh Amira itu.