Bilionair paling kaya bina kubu hadapi ‘kiamat’

Oleh – Syeikh Baran


Bilionair paling kaya bina kubu hadapi ‘kiamat’
Zuckerberg dikatakan mempunyai kubu rahsia di sebuah pulau di Hawaii – GETTY

Sebilangan manusia paling kaya di dunia mula melakukan persediaan untuk menghadapi ‘kiamat’ termasuk membina kubu dan menyimpan bekalan secukupnya, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Kiamat yang dimaksudkan adalah bencana yang membawa kemusnahan besar seperti perang nuklear.

Menurut Daily Star, bos Meta, Mark Zuckerberg membina sebuah kubu bawah tanah di Pulau Hawaii. Langkah drastik pengasas Facebook itu mendorong pesohor podcast, Christina Randall mengisytiharkan bahawa golongan elit sedang melakukan persiapan untuk menghadapi hari ‘kehancuran umat manusia’.

Persiapan sedemikian bukan terhad kepada Zuckerberg sahaja. Berbilang bilionair dikatakan sedang melakukan persiapan masing-masing untuk menghadapi hari bencana tersebut, manakala lebih ramai lagi mungkin melakukannya secara rahsia.

Sam Altman

Pengasas firma kepintaran buatan(AI), OpenAI tersebut percaya bahawa dunia berdepan kehancuran di tangan AI yang akan menyerang manusia. Beliau juga bimbang akan ancaman perang nuklear dan virus ‘sintetik’.

Untuk memastikan dirinya selamat, Altman menyediakan keperluan ‘kiamat’ termasuk ubat antibiotik, air dan banyak lagi barangan lain.

“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Bagaimanapun, saya menyimpan senjata api, emas, potassium iodida, antibiotik, bateri, air, topeng gas dan tanah luas di Big Sur (pergunungan California) sebagai tempat perlindungan,” katanya kepada media tempatan.

Kata Altman, beliau dan pengasas bersama PayPal, Peter Thiel turut mengaturkan supaya mereka melarikan diri menuju hartanah mewah milik Thiel di New Zealand sekiranya hari ‘kemusnahan umat manusia’ berlaku.

Mark Zuckerberg

Pengasas Facebook itu dikatakan membina sebuah kubu bawah tanah rahsia di bawah ladang ternakan miliknya di Hawaii. Pembinaan projek misteri itu disembunyikan di belakang tembok setinggi hampir 2 meter, lapor majalah Wired.

Pekerja yang terlibat perlu mendatangani persetujuan untuk tidak mendedahkan projek tersebut, manakala mereka yang memuat naik mengenainya di laman sosial akan dibuang kerja, kata seorang lelaki yang arif tentang kubu rahsia berkenaan

Kubu bawah tanah Zuckerberg dilaporkan mempunyai bekalan makanan dan tenaganya sendiri. Ia juga dilengkapi pintu-pintu kalis letupan, manakala projek tersebut menelan kos AS$270 juta (RM1.28 bilion).

Lelaki terkaya di negeri Idaho, Frank VanderSloot juga dikatakan membeli tanah seluas lebih 809 hektar di selatan ladang Zuckerberg pada harga AS$51 juta (RM242.8 juta).

Elon Musk

Musk baru-baru ini mengisytiharkan bahawa beliau telah membina pertahanan ‘terbaik’ untuk menghadapi hari kemusnahan tamadun manusia. Bos SpaceX itu berkongsi gambar trak dinamakan Tesla Cybertruck yang dilengkapi kaca perisai untuk melindungi daripada peluru berpandu atau robot
pembunuh.

“Tesla Cybertruck, teknologi pertahanan hari apokalips terbaik!” katanya.

Kubu rahsia Kansas

Di lokasi yang tidak diketahui di negeri Kansas pula terletak sebuah kubu bawah tanah setinggi 15 tingkat dilengkapi dengan segala-gala yang diperlukan untuk bertahan sekiranya bencana sejagat berlaku. Pertama kali dibina semasa Perang Dingin, kubu itu cukup kukuh untuk menahan serangan nuklear

secara langsung. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker