15 lelaki berkumpul di pondok ditahan

PADANG BESAR: Polis menahan 15 lelaki termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang yang dikesan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berkumpul di pondok di Kampung Panggas Besar di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan Shahrim Azhar, berkata kesemua mereka yang berusia 20 hingga 54 tahun ditahan pada jam 5 petang ketika sedang berbual di kawasan pondok berkenaan.

“Sepasukan anggota khas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah membuat rondaan di kawasan terbabit sebelum ternampak mereka berhimpun di hadapan pondok.

“Ketika ditahan kumpulan terbabit memberi alasan sedang berbual dan seorang lelaki warga Thailand pula ditemui bersembunyi di dalam pondok bersebelahan pondok mereka berkumpul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahrim berkata, pemeriksaan ke atas warga Thailand berkenaan mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat untuk dituduh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020),” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker