Iqbal tak sempat bercuti bersama rakan

IPOH: Iqbal Hasnun Halimi, 23, seorang daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas di Kilometer (Km) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini tengah malam tadi, merancang mengadakan program percutian bersama rakan-rakan sekampus tidak lama lagi.

Rakannya, Muhammad Alif Haiqal Jamal Amidy,22, berkata dia memang mengenali arwah Iqbal dan seorang lagi mangsa, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, kerana mereka aktif dalam aktiviti Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA).

“Kali terakhir saya jumpa arwah Iqbal semasa bulan puasa sebelum balik kampung beraya. Dia ada merancang untuk membuat program percutian bersama kami rakan-rakan, tetapi tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di luar Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Selain Iqbal dan Muhammad Nasrun, tiga lagi yang rentung adalah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.



Kata Muhammad Alif Haiqal, dia terkejut dan seakan tidak percaya selepas mendapat maklumat mengenai kemalangan itu dalam kumpulan WhatsApp pengajian pada kira-kira jam 1.49 pagi tadi.

“Selepas melihat mesej itu, saya tak dapat pastikan betul atau tidak (kejadian). Selepas itu, saya cuba menghubungi Iqbal dan Nasrun, tetapi tidak dapat. Kemudian, saya hubungi rakan yang memberi maklumat dan disahkan yang berada di lokasi bahawa memang mereka kemalangan,” katanya.

Seorang lagi rakan, Ainur A’fifah Zakaria, 21, berkata Iqbal yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam memegang jawatan dalam Kor SISPA dan sangat gigih dalam segala hal serta berjiwa kepemimpinan tinggi di kampus.

“Arwah Iqbal pengerusi dalam Kor SISPA, saya pula timbalan dan membantu dia. Dia sangat baik, apabila hendak membuat sesuatu perancangan, memang dia paling gigih dan giat berusaha, semua benda dia sediakan,” katanya.



Ainur A’fifah berkata, kali terakhir dia berkomunikasi dengan Iqbal pada Sabtu lalu dan mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

“Kali terakhir kami bersembang macam biasa, Sabtu baru-baru ini saya ada mesej dan dia baru balik dari Johor menaiki bas. Tiada apa perubahan, tetapi dia memang selalu mesej dengan kami semua, baru-baru ini dia mengucapkan Selamat Hari Raya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati treler membawa muatan mozek dari arah selatan menghala utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri dari Km 246 hingga Km 244.4 ditutup disebabkan penyelenggaraan jalan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker