Lima ditahan, dadah bernilai lebih RM880,000 dirampas

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 27 April — Empat lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Jalan Ipoh di sini dan Batu Caves dekat sini pada 22 April lepas, dengan dadah bernilai lebih RM880,000 dirampas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata, serbuan pertama membabitkan seorang lelaki yang ditahan di hadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur kira-kira 9.40 pagi.

Menurutnya, suspek berusia 19 tahun yang menaiki kereta ditahan dan pemeriksaan menemukan dadah jenis pil Ecstacy dianggarkan berat 3,490 gram bernilai RM 240,000 dan wang tunai RM270.

“‘Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis Estacy, Erimin 5 dan Ketamin sejak Oktober 2019 sekitar Lembah Klang. Urusan jual beli dadah dan pembayaran adalah secara deposit ke akaun bank,” katanya.

Mazlan berkata, hasil siasatan suspek pertama, pihaknya membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Batu Caves, Selangor dan menemukan pelbagai jenis dadah antaranya Erimin 5 dan Ketamin yang dianggarkan bernilai RM645, 526.

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya menahan tiga lelaki bersama seorang wanita berusia lingkungan 26 hingga 31 tahun di sebuah rumah di Taman Selayang Baru, Batu Caves dekat sini kira-kira 6.30 petang.

“Polis telah merampas wang tunai berjumlah RM26,261, sebuah kereta jenis Mercedes E 200 bernilai RM70, 000 dan sebuah kereta jenis Honda HRV bernilai RM65,000

“Seorang suspek yang berusia 31 tahun mengaku terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan telah mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki serta urusan jual beli dadah dibuat menggunakan aplikasi WeChat dan bayaran dibuat semasa penghantaran,” katanya.

Mazlan berkata keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah, wang tunai dan kereta dianggarkan RM 1.09 juta.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Jelasnya, polis kini giat mengesan beberapa orang lagi individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Lembah Klang.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: