Kemenangan Aston Villa dibatalkan

Oleh Pena Merah

Kemenangan Aston Villa dibatalkan
Pemain Aston Villa, Alex Moreno (kanan) melakukan percubaan yang menerjah jaring Everton tetapi gol itu dibatalkan VAR kerana ofsaid pada aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, Liverpool lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Cabaran Aston Villa memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terencat apabila jaringan Alex Moreno secara kontroversi dibatalkan oleh VAR ketika seri 0-0 menentang Everton lewat malam tadi.

Pasukan kendalian Unai Emery mampu menyamakan kedudukan mata dengan pendahulu Liverpool jika mereka menang di Goodison Park.

Namun keputusan untuk membatalkan percubaan Moreno kerana ofsaid memaksa Villa berpuas hati dengan satu mata yang mengekalkan mereka di tangga ketiga.

Keputusan ofsaid itu juga bermakna Villa hanya menang sekali dalam empat perlawanan terakhir liga ketika usaha mereka untuk mencabar kejuaraan terhalang.

Mereka berada dua mata di belakang Liverpool, sesudah bermain lebih satu perlawanan dan diketepikan oleh pasukan tangga kedua Manchester City menerusi perbezaan gol.

“VAR amat penting buat pengadil. Saya cuba untuk tidak kecewa jika VAR tidak memberikan kami gol atau seumpamanya kerana kami perlu menghormati dan menyesuaikan diri dengannya,” kata Emery.

Emery dinamakan sebagai pengurus terbaik EPL bagi bulan Disember namun pengendali dari Sepanyol itu berharap gol Moreno yang tidak disahkan bukannya petanda beliau akan merana susulan ‘badi’ yang menimpa pemenang anugerah bulanan itu.

Everton kekal satu mata di atas zon penyingkiran selepas rentetan tanpa menang dalam liga berlarutan kepada empat perlawanan.

Tewas dalam tiga perlawanan terdahulu mereka, pasukan kendalian Sean Dyche hanya satu mata di depan pasukan ketiga tercorot Luton Town.

“Ia kerja dalam pembikinan. Kami fokus kepada realiti. Pertahanan kami cemerlang. Babak kedua mereka banyak menguasai bola tetapi tidak mampu menembusi benteng kami,” kata Dyche. – AFP

-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker