Sarah niaga soto cari duit belanja

KUALA LUMPUR: Tidak hanya berpeluk tubuh ketika punca pendapatan terhenti menerusi nyanyian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa, penyanyi, Sarah Fazny memanfaatkan minat memasak untuk menjana pendapatan.

Sejak tempoh PKP, bintang kelahiran program realiti, Mentor Legend pada 2015 berniaga soto resipi air tangan turun temurun keluarganya.

Protege kepada penyanyi lagenda, Amy Search menerima tempahan pelanggan setianya.

“Kali terakhir saya berniaga soto ketika berniaga di bazar Ramadan, kira-kira lima tahun lalu. Selain itu, saya menghidangkan soto kepada tetamu pada hari raya.

“Bagaimanapun, saya terfikir kenapa tak kembali berniaga soto apabila tempoh PKP dilaksanakan. Lagipun, saya mempunyai pelanggan setia yang selalu menempah sejak dahulu.

“Selain soto, saya membuka tempahan nasi berlauk atas permintaan rakan pada Ramadan. Di kalangan rakan, mereka tahu saya suka memasak,” katanya kepada BH Online.

Artis naungan syarikat Broadway NuMusic itu berkata, ada juga pelanggan memintanya menyediakan menu makanan untuk bersahur.

“Bagaimanapun, keadaan menyukarkan saya untuk penghantaran ketika tempoh PKP ini.

“Saya kena akur dengan perintah kerajaan,” katanya.

Bukan sahaja berniaga soto, penyanyi lagu Mantankan Saja itu membuka tempahan biskut raya, Fazny Cookies sepanjang Ramadan, sejak beberapa tahun lalu. Dia mengusahakan perniagaan bersama kakaknya.

“Perniagaan biskut raya berjalan seperti biasa. Saya memang buka tempahan pada bulan puasa.

“Sudah ada beberapa pelanggan yang menempah. Bagaimanapun, saya tahu ramai yang berkira-kira mahu berbelanja pada saat getir sekarang.

“Jadi, saya jual kuih raya dalam balang lebih kecil dengan harga mampu milik. Timbul cabaran lain apabila bahan kuih raya selalu habis. Saya faham ramai yang mencuba pelbagai resipi dan kuih raya dalam tempoh PKP,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker