Ducati laung amaran dominasi MotoGP 2024

Oleh – Syeikh Baran


Ducati laung amaran dominasi MotoGP 2024
BASTIANINI

Persembahan memukau jentera buatan Itali ter­utamanya Ducati sewaktu sesi ujian rasmi di Litar Antarbangsa Sepang (SIC) baru-baru ini memberi gambaran bahawa perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2024 akan dikuasai sepenuhnya oleh Ducati.

Pada sesi pramusim selama tiga hari di Sepang itu, pelumba satelit Ducati, Jorge Martin dari pasukan Pramac Racing menguasai hari pertama sebelum Enea Bastianini berjaya menawan hari kedua.



Ducati terus mengganas pada hari terakhir apabila juara dunia dua musim berturut-turut, Francesco Bagnaia mencatat rekod terpantas dengan masa satu minit 56. 682 saat diikuti Martin dan Bastianini masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Bagaimanapun, Bastianini mengakui data ujian di Sepang tidak boleh dijadikan panduan utama kepada musim 2024 walaupun merasakan jentera Desmosedici GP24 lebih kompetitif.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan ia akan menjadi kejuaraan Ducati sahaja, tetapi kami sudah tentu mengambil langkah ke hadapan dengan jentera 2024 ini.

“Menjelang ujian seterusnya di Qatar nanti, kami masih ada sesuatu untuk dibuktikan walaupun aerodinamik baharu akan digunakan pada perlumbaan musim ini,” kata Bastianini.



Bastianini menduduki tempat ketiga terpantas sepanjang tiga hari di Sepang dan persembahan terbaik itu mendapat pujian pengurus Ducati, Davide Tardozzi yang menjelaskan pelumba Itali berkenaan sudah kembali menemui prestasi ­terbaiknya.

“Ia agak berbeza kerana saya lebih sukar mengendalikan jentera ini. Namun, perkara yang positif adalah jentera ini berfungsi dengan amat baik,” tambah Bastianini. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button