Kastam patah cubaan seludup 9 juta batang rokok di Pelabuhan Klang

PUTRAJAYA, 29 April — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup sembilan juta batang rokok putih bernilai RM720,000 dengan cukai berjumlah RM5.7 juta di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, semalam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai penguatkuasaan Zon Tengah Unit II (Selangor) membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena 40 kaki persegi yang diikrar sebagai ‘alas kaki, tuala mandi’ pada pukul 12.30 tengah hari di pelabuhan itu

“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah rokok putih yang disembunyikan di sebalik guni-guni berisi dagangan yang diikrar bagi mengaburi mata pihak JKDM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Zulkurnain berkata modus operandi pengimport atau ejen adalah dengan meletakkan guni-guni besar berisi alas kaki di bahagian hadapan kontena supaya kotak-kotak berisi rokok putih yang diletakkan di bahagian belakang tidak dapat dikesan pihak berkuasa.

Zulkurnain berkata pengimport dan ejen perkapalan yang terlibat dalam cubaan menyeludup itu sedang disiasat.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksesais 1976, katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button