Anggota polis maut kemalangan motosikal

HULU SELANGOR: Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan Taman Kemboja, Persiaran Kuala Kali, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, Koperal Ishamcik Abd Hamid, 40, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan jam 8.32 malam itu.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke Bukit Sentosa selepas tamat bertugas.

“Mangsa bertugas di Cawangan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita disyaki cuai masuk ke simpang jalan Taman Kemboja.

“Pada masa sama, motosikal mangsa dari laluan bertentangan bertembung dengan kereta itu.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.38 malam.



“Sepasukan sembilan anggota bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker