Penjualan MyKad Kepada Warga Asing Pengkhianatan Kepada Negara Dan Rakyat – Norshida
KUALA LUMPUR, 29 April – Laporan Ketua Audit Negara 2018 (Siri 2) bulan Disember 2019 menimbulkan tanda tanya dan persoalan di mana terdapat lebih 100 ribu orang warga asing tiada rekod keluar dari Malaysia dan masih berada dalam Negara.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata persoalan yang wajib dirungkaikan di manakah mereka tinggal, adakah mereka ini pendatang haram atau telah pun memilik dokumen pengenalan diri MyKad yang sah dan adakah penjualan MyKad telah dijalankan oleh sindiket terancang yang menjadi pengkhianat kepada rakyat dan Negara
Menurut beliau daripada laporan audit tersebut terdapat seramai 76,258 orang pelancong China dan 39,806 orang pelancong India tiada rekod keluar dari Malaysia dan masih berada dalam Negara Malaysia dan angka tersebut yang amat membimbangkan semua pihak.
“Bilangan itu baru jumlah bilangan yang berdaftar melalui kemasukan secara sah melalui pintu-pintu masuk utama negara, belum lagi di kira angka pendatang haram yang memasuki negara dengan menggunakan lorong tikus dan jalan kemasukan secara haram.
“Dalam aspek ini, dengan kebanjiran warga asing ini tanpa kawalan dan penjualan dokumen MyKad serta Sijil Kelahiran, membuatkan kita semua berada dalam dilema dan mimpi yang menakutkan. Mereka yang terlibat dalam penjualan MyKad dan Sijil Kelahiran tersebut adalah pengkhianat sebenar yang wajib di beri hukuman berat seperti dilucutkan hak kerakyatan dan dihukum penjara seumur hidup.
“Pihak Kerajaan perlu bersifat tegas serta tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang terbabit secara langsung atau bersubahat dalam sindiket terbabit. Pada tahun lepas, kita dikejutkan dengan berita penangkapan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang terbabit dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil lahir kepada warga asing adalah pengkhianatan besar kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi menjadi Warganegara Negara Malaysia adalah satu bentuk hak dan keistimewaan yang hanya boleh dianugerahkan melalui kelahiran atau kepada mereka yang sudah membuktikan bahawa mereka layak setelah mengikut proses yang sah.
Tegasnya menggugat prosedur ini melalui jalan belakang dengan suapan wang ringgit adalah tindakan pecah amanah terhadap negara dan rakyat.
“Kita harus sedar, masih terdapat rakyat dalam negara Malaysia yang masih tidak mempunyai dokumen MyKad dan Sijil Kelahiran yang sah kerana mereka ini mempunyai masalah untuk mendaftarkan diri disebabkan kekurangan dokumen sijil pernikahan, dokumen kelahiran hospital, anak luar nikah dan lain-lain masalah lagi.
“Rakyat seperti golongan ini yang wajar dibantu oleh pihak Kerajaan untuk memudahkan urusan mereka bagi mendapatkan dokumen MyKad dan Sijil Kelahiran dengan pengesahan sokongan dari wakil rakyat setempat atau ketua kampung,” ujarnya.
Ujar beliau lagi isu penjualan MyKad adalah pengkhianat negara kerana sikap tamak segelintir pihak yang mahu mendapatkan wang lumayan hasil daripada jualan Mykad kepada warga asing maka, mereka mengambil kesempatan di atas beberapa situasi dengan menjadikan penjualan Mykad ini sebagai ‘pendapatan sampingan’ mereka.
Tegasnya isu ini sememangnya cukup membahayakan keselamatan terhadap negara, apa lagi ia melibatkan pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.
“Sekiranya isu ini tidak diambil tindakan yang tegas, maka pelbagai impak dan kesan akan berlaku terhadap Malaysia khususnya pada rakyat negara ini. Antara impak yang jelas kelihatan adalah kemungkinan berlakunya siri penggodaman ke atas pengkalan data JPN oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mencuri identiti rakyat Malaysia untuk diberikan kepada warga asing.
“Selain itu, isu ini juga turut memberi impak ke atas semakan daftar pengundi buat rakyat Malaysia. Ini kerana telah terjadi beberapa kes semasa PRU14 di mana beberapa pengundi berdaftar telah kehilangan hak mengundi apabila nama mereka telah disenaraikan sebagai individu yang telah melakukan undian awal.
“Ini secara tidak langsung memberikan kesan terhadap keselamatan rakyat apabila identiti mereka digunakan untuk melakukan jenayah antarabangsa. Isu ini juga berkait rapat dengan keselamatan di dalam negara yang mungkin sedang diancam secara sembunyi oleh pihak musuh,” tambahnya.
Tambah Norshida jadi, langkah yang perlu diambil oleh kerajaan adalah dengan mengubah atau menyusun semula prosedur operasi standard (SOP) di JPN dengan melakukan proses ‘pemutihan’ dengan menyaring pengkalan data di JPN agar ke semua data dapat diselaraskan semula dan kemudian ‘dipaterikan’ dengan identiti pengecaman wajah atau cetakan ibu jari.
Di samping itu, tambah Norshida lagi kerajaan dan JPN juga disarankan untuk menghentikan sementara pengeluaran Mykad atau Kad Pemastautin Tetap (MyPR) kepada warga asing buat sementara waktu dan ini bagi memudahkan jabatan yang terlibat dalam melakukan proses ‘pemutihan’ terhadap pengkalan data rakyat Malaysia.
Dengan cara ini, kata beliau ia lebih memudahkan pihak berkuasa melakukan pengecaman terhadap warga asing yang menggunakan identiti rakyat Malaysia sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia sebagai jalan untuk menjadi warganegara.
“Justeru, semua pihak termasuk pihak berkuasa disarankan agar memainkan peranan yang tegas dalam hal ini. Jangan hanya disebabkan isu ini melibatkan individu yang berkepentingan dalam kerajaan, maka ia hanya dipandang enteng tanpa ada apa-apa tindakan.
“Ingat, kelalaian pihak yang terlibat akan menyebabkan keselamatan negara terjerumus ke lembah bahaya. Tidak mustahil, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mahu menjadikan negara ini sebagai sarang pengganas dan juga tempat penyebaran fahaman komunisme secara besar-besaran,” katanya.
Katanya lagi dalam mengesan hampir lebih 100ribu orang pelancong China dan Pelancong India, Kerajaan perlu untuk menarik balik kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada pelancong daripada China untuk memasuki Malaysia termasuklah Program Pengecualian Visa melalui kemudahan eNTRI (Electronic Travel Registration and Information), kemudahan permohonan visa atas talian (eVisa), kemudahan mendapatkan visa di pintu masuk (Visa On Arrival – VOA) dan Multiple Entry Visa atau permohonan Visa dengan Kemasukan Berulang Kali.
“Keselamatan negara terancam dengan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh warga asing yang sering kita lihat dalam media massa termasuklah yang melibatkan sindiket penjualan kad pengenalan, pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat.
“Keselamatan negara tidak wajar digadaikan demi keuntungan yang disasarkan daripada kedatangan pelancong asing. Ketatkan proses kemasukan pelancong-pelancong dari China dan India atau hentikan buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat mencari kembali ke mana perginya pelancong yang hilang selama ini.
“Strategi untuk mencari pelancong-pelancong dari negara China dan India yang hilang ini juga perlu diperkemaskan dan perlu dimasukkan dalam Pelan Holistik Penguatkuasaan agensi kerajaan yang terlibat. Malaysia sebuah Negara yang berdaulat, rakyat berbilang kaum hidup aman makmur dalam sebuah keluarga yang sejahtera,” ujarnya.- UMNO Online