PN dan Politik Angka Di Johor : Hanya Visi Yang Jelas Kayu Ukur Sebenar

KUALA LUMPUR, 29 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Perikatan Nasional (PN) hanya akan mengukuh dan berfungsi dengan sebaiknya di Johor jika ia boleh mengemukakan ‘grand strategy’ nya yang mapan tentang bagaimana potensi sebenar Johor itu boleh di bongkar.

Menurut beliau kemajuan Johor, dengan visi yang jelas serta pentadbiran berpandu nilai dan amalan terbaik adalah kayu ukur sebenar ketahanan PN dan PN yang berkelangsungan adalah apabila ia boleh mengemukakan jawapan dan penyelesaian kepada kemelut kehidupan dan pembangunan Negeri Johor.

“Saya membaca kenyataan YB Solihan Badri tentang Perikatan Nasional(PN) di Johor dan nyata beliau mengingatkan semua betapa rapuhnya gabungan tersebut.

“Benar apa yang beliau nyatakan. Tetapi adalah juga benar bahawa PN di Johor adalah sesuatu yang tidak pernah dirancang. Ia lahir dari sesuatu yang tidak terjangka dan UMNO tampil dengan persefahaman untuk sama-sama mengurus keadaan politik ini. Sudah pasti mengurusnya adalah eksperimen politik dengan cabaran yang tersendiri.



“Tetapi selagi semua pihak bermain politik angka, tiada siapa yang akan menang. BERSATU dengan 11 kerusi dan UMNO 16 kerusi tidak akan ke mana tanpa keduanya saling bersefahaman untuk tujuan yang lebih besar dan ideal,” katanya menerusi catatan di facebook.

Katanya lagi PN di Johor akan kekal selagi keduanya berkehendak untuk mengekalkannya namun dalam politik, segala kemungkinan itu pasti ada tetapi mengukuhkan PN dengan ‘political rewards’ melalui pelantikan dalam GLC dan pelbagai lagi, bukan lah jalannya.

“PN tidak ditubuhkan dengan mandat rakyat. Ia mesti mengetepikan segala kepentingan lain kecuali kepentingan rakyat. Jawatan, gelaran dan habuan bukan matlamat PN ditubuhkan. Matlamatnya ialah menyelamatkan negara.

“Jika ia boleh menguruskan Johor dengan elemen pembaharuan, kemajuan dan pembangunan yang pesat, PN pasti akan menjadi ‘coalition’ yang diterima walaupun tanpa kerjasama politik yang mengikat, kemas dan teruji.



“Hanya Johor yang merasai perubahan dan pembangunan akan menyelamatkan PN dan bukannya angka dan jumlah kerusi. Maka gunakanlah segala angka dan kerusi di DUN itu, untuk memberikan kelainan dengan memajukan Johor, dan bukan untuk saling melemahkan,” ujarnya.- UMNO Onlin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button