Serbuan di Ulu Rening: Tidak timbul isu penempatan haram – Polis

KUALA LUMPUR: Tindakan polis menyerbu sebuah kawasan hutan yang diteroka serta dijadikan penempatan sementara di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor, semalam, adalah berhubung kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, ketika mengesahkan perkara itu berkata ia membabitkan kesalahan berhimpun beramai-ramai di satu kawasan.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, tidak timbul isu penempatan haram dalam kes berkenaan.

Katanya, serbuan itu dilakukan berikutan aduan awam bahawa ada sekumpulan individu berhimpun beramai-ramai di lokasi berkenaan.

Susulan risikan yang dijalankan pihaknya, beliau berkata, lokasi terbabit diserbu kira-kira jam 4 petang semalam.

“Seramai 238 individu, termasuk remaja, kanak-kanak dan bayi, ditahan dalam serbuan itu.

“Hasil soal siasat mendapati mereka dikatakan berada di situ untuk menjalankan kegiatan pertanian. Mereka juga mendakwa sudah berada di situ sejak dua bulan lalu.

“Selepas soal siasat dan proses dokumentasi selesai, kita mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh 154 orang termasuk 77 wanita, di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, hari ini, kerana mengingkari PKP,” katanya ketika dihubungi.

Fadzil berkata, kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, baki 84 orang yang tidak dituduh di mahkamah, hari ini, terdiri daripada remaja bawah umur, kanak-kanak dan bayi.

Malam tadi, Fadzil pada satu sidang media di Hulu Selangor, memaklumkan bahawa penempatan yang diserbu itu dihuni ahli pertubuhan Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN) yang datang dari pelbagai negeri, termasuk Kelantan, Pahang dan Perak.

“Mereka menetap sementara di situ. Namun, tujuan mereka menetap di kawasan itu masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang individu mendakwa daripada ‘Team Management DPEIN’ melalui akaun Facebook menggunakan nama ‘Syed Rossedi Tuan Dalam’, mendakwa tanah diteroka itu adalah perkampungan yang sah.

Beliau menerusi satu hantaran yang dimuat naik pada awal pagi tadi mendakwa, lokasi diserbu itu mempunyai geran tanah bawah nama seorang individu dalam ‘Team Management DPEIN’.

Selain itu, beliau mendakwa, tanah itu adalah projek terbaru DPEIN untuk perniagaan yang memfokuskan bidang pertanian, termasuk ternakan dan kolam ikan, serta surau.

Individu terbabit mendakwa lagi, khemah yang dibina di atas tanah tidak dinyatakan keluasannya itu, adalah penempatan sementara untuk tidur kerana mereka melakukan kerja pembersihan hutan di situ sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Orang kampung membuat aduan sedangkan mereka tidak tahu hal sebenar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *