Kebenaran untuk kembali berlatih beri dorongan moral kepada atlet negara

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Keputusan kerajaan untuk memberi kelonggaran khas kepada atlet negara di bawah Program Road to Tokyo 2020 (RTT) kembali menjalani latihan harian bermula bulan depan memberikan mereka masa mencukupi untuk mendapatkan kembali keyakinan menjelang temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, tahun depan.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka berterima kasih atas kelulusan yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk 265 individu di bawah program RTT menyambung semula latihan di tiga lokasi, iaitu Bandar Sukan Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi, dari 1 hingga 30 Jun.

“Bagi pihak atlet dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) yang sedang bersiap untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, MOM juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana telah mengambil inisiatif dan terus melibatkan pemegang taruh berkaitan untuk memastikan bahawa kepentingan atlet dan pegawai kita dilindungi,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, OCM menekankan bahawa kesihatan dan kebajikan pegawai dan atlet kebangsaan tetap menjadi keutamaan mereka, sambil menambah bahawa keselamatan untuk kembali menjalani latihan adalah proses secara berperingkat.



Badan induk sukan kebangsaan itu berkata prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan akan membolehkan atlet dan pegawai kebangsaan untuk kembali menjalani latihan di persekitaran yang paling selamat.

“MOM akan terus mendapatkan nasihat Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Sukan Kebangsaan, atlet dan pegawai ketika kami terus memantau protokol terkini dan memperhalusi SOP bagi membolehkan latihan ‘normal’ dilaksanakan,” tambah kenyataan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini memaklumkan bahawa kerajaan telah memberikan kelonggaran khas kepada 265 individu termasuk 57 atlet yang terlibat dalam program Road to Tokyo 2020 untuk memulakan persiapan dan latihan pada 1 Jun.

Kelulusan itu diberikan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, berikutan permohonan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai persiapan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo tahun depan.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button