Kerajaan Disaran Tubuh RCI Teliti Isu MyKad Palsu Demi Keselamatan Negara
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi meneliti isu berkaitan kes pengeluaran dokumen palsu Kad Pengenalan (MyKad) dengan lebih serius dan berfokus.
Ini kerana katanya, isu ini bukan sahaja menimbulkan perhatian dan keprihatinan semua, malah turut mengundang kebimbangan dan spekulasi dalam kalangan banyak pihak.
“Dalam kekalutan kita memerangi COVID-19, satu isu penting yang sering kita dengar adalah berkaitan kes pengeluaran dokumen palsu Kad Pengenalan (MyKad),” katanya dalam kenyataan menerusi facebook beliau hari ini.
Jelasnya, bagi mengelakkan isu ini terus mengundang polemik dan dipolitikkan, beliau menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi meneliti isu ini dengan lebih serius dan berfokus.
“Keperluan sedemikian adalah kerana, pertama, isu ini melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. Maka, adalah penting untuk satu siasatan dan saranan yang bersifat berkecuali dan objektif dijalankan.
“Kedua, negara harus tahu sejauh manakah tahap keseriusan isu ini. Melalui laporan dan dapatan RCI, kita harap pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam jenayah pemalsuan dokumen dan sebarang bentuk prosedur kemasukan dan kewarganegaraan dikenal pasti, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.
“Tindakan mereka bukan sahaja memburukkan imej negara. Malah, meletakkan keselamatan dan kedaulatan negara dalam keadaan berisiko,” katanya lagi. – UMNO ONLINE