Pioli kecewa berbekalkan kelebihan satu gol

MILAN: Pengendali AC Milan, Stefano Pioli merumuskan yang pasukan seharusnya membawa bekalan lebih selesa dalam suku akhir Liga Juara-Juara dengan Napoli selepas rakan seteru Itali mereka itu menamatkan pusingan pertama awal pagi tadi dengan 10 pemain.

Milan mempunyai masa secukupnya untuk menambah kelebihan jaringan mereka yang diperoleh menerusi Ismael Bennacer di babak pertama sebelum Andre-Frank Zambo diarah keluar padang selepas menerima dua kad kuning di separuh masa kedua.

“Itu adalah satu-satunya penyesalan yang kami ada, kami seharusnya lebih berhati-hati,” kata Pioli mengenai pasukannya yang meraih kemenangan tipis 1-0. “Sesuatu yang mengecewakan tetapi mereka sudah berusaha.



“Satu keputusan yang baik selepas menunjukkan prestasi baik, mari berharap untuk yang seterusnya.”

Milan harus mempertahankan kelebihan tipis itu di Stadio Maradona di Naples minggu depan dengan mereka dijangka bertemu Inter Milan di separuh akhir selepas seteru tempatannya itu menumpaskan Benfica 2-0.

“Ia akan menjadi perlawanan sengit, Napoli sebuah pasukan yang bagus dengan mempunyai ramai pemain berkualiti, pasukan yang pada ketika ini sudah menjaringkan gol terbanyak di Liga Juara-Juara.



“Kami dibelenggu detik sukar malam ini… Kami menjangkakan Napoli akan menyerang dan kami perlu bertahan sebaiknya di padang. Kami tidak akan tersilap pendekatan… tidak ada seorang pun di sini yang memikirkan kami sudah menang.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button