‘Isu watak budak sekolah bukan umpan penonton’
KUALA LUMPUR: Saharul Ridzwan tidak terkesan dengan kritikan negatif warganet terhadap watak pelajar sekolah yang dilakonkan dalam drama Korban Kasih siaran TV1 sepanjang Ramadan.
Sebaliknya, aktor sasa ini percaya tidak semua orang berpendapat sedemikian.
“Individu yang melontarkan komen negatif hanyalah segelintir, itupun, mereka yang tidak menonton drama ini.
“Jadi, saya fikir dengan komen yang sedikit itu tidak memberi kesan kepada kami sebagai pelakon.
“Kami menjayakan watak mengikut relevan dan siapa yang menonton pasti faham,” katanya kepada BH Online.
Baru-baru ini, laman sembang kecoh apabila babak dalam drama Korban Kasih memaparkan watak pelajar sekolah dihidupkan beberapa pelakon utama yang didakwa tidak cocok dengan usia mereka.
Watak pasangan kembar Jalil dan Jamil yang digambarkan belajar di sekolah menengah lakonan Saharul dan Azrel Ismail, hangat dipersoalkan netizen.
Netizen hairan mengapa watak pelajar tidak dibawa pelakon lebih muda atau sesuai dengan usia penuntut sekolah.
Saharul menyifatkan komen diterima membuktikan audiens peka dan menonton drama lakonannya.
“Kalau mahu diikutkan, drama siaran TV1 kurang penonton. Alhamdulillah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Korban Kasih ada kelebihan apabila orang menonton di rumah. Malah, siaran ulangannya pada jam 5 pagi juga mendapat sambutan.
“Tapi tidaklah kami menggunakan isu ini sebagai strategi promosi. Sedar bakal dikritik, kami ubah mengikut relevan.
“Kami tidak perlukan isu ini untuk mengumpan penonton. Jalan cerita drama ini sahaja sudah cukup menarik untuk berbuat demikian,” katanya yang melakonkan watak Jalil.
Saharul berkata, barisan pelakon yang menjayakan drama ini semuanya hebat-hebat termasuk Zara Zya dan Ummi Nazeera.
“Ini bermakna, penonton boleh menilai kualiti produk ditayangkan,” katanya.
Membabitkan 30 episod, Korban Kasih disiarkan TV1 mulai 1 Ramadan lalu, setiap hari pada jam 7 malam.