KDN bincang dengan MoT perhebat Akta Pengangkutan Jalan

PADANG BESAR, 3 Mei — Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan  perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan (MoT) bagi memperhebatkan lagi  Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, akta tersebut telah digubal sejak 15 tahun yang lalu dan ia perlu diperhebatkan, supaya pesalah jalan raya seperti memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan lebih berat.

“Kita akan melakukan perbincangan agar kaedah yang lebih hebat dapat diambil sama ada dalam bentuk denda atau penjara, agar pemandu lebih berhati-hati dan tidak memandu dalam keadaan mabuk,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Kerja ke Perlis di sini hari ini.



Hamzah turut menasihati orang ramai agar mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk tidak memandu pada waktu lewat malam tanpa alasan yang munasabah.

Media hari ini melaporkan seorang anggota polis maut dalam nahas jalan raya ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan Lebuh Raya LEKAS, awal pagi tadi, selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu pemandu dipercayai mabuk.

Hamzah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap kes tersebut tidak akan berulang lagi.

Dalam perkembangan lain Hamzah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa esok bukan bermakna bebas sepenuhnya, kerana orang ramai masih perlu mengikuti peraturan dan arahan yang telah ditetapkan.



Beliau berkata industri akan beroperasi semula mengikut prosedur operasi standard (SOP), yang telah ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan SOP tersebut mesti dipatuhi.

Hamzah berkata, sekatan jalan raya akan diteruskan tetapi tidaklah diperketatkan seperti dahulu dan akan dilonggarkan dari semasa ke semasa.

“Sekatan jalan raya di kawasan merah akan diteruskan, dan di kawasan hijau akan dikurangkan berbanding sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button