Veteran UMNO Sokong Tubuh RCI – Mustapha

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Veteran UMNO Malaysia hari ini menyokong desakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin supaya kerajaan menubuh satu Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk menyiasat kes pemberian Mykad yang kini menjadi isu panas.

Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata pemberian Mykad ini terbongkar setelah beberapa kes terbaharu di Pulau Pinang dan pihak polis menangkap beberapa rakyat Cina yang telah mendapat Mykad melalui pembelian.

Jelas beliau, Veteran UMNO berpendapat kerajaan tidak lagi boleh memandang remeh perkara ini dan menganggap ianya perbuatan jenayah biasa yang hanya boleh diselesaikan oleh pihak polis.

“Veteran ingin mengingatkan kerajaan bahawa jenayah ini amat serius kerana ianya satu perbuatan pengkhianatan menjual maruah negara. Dari bukti-bukti penangkapan sebelum ini, ternyata adanya sendiket yang terdiri dari orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang telah menjalankan jenayah ini.



“Veteran yakin ramai lagi warga asing yang telah mendapat Mykad ini yang masih ‘bersembunyi dan berlindung’ disebalik orang-orang tertentu atau sindiket yang menjual Mykad kepada mereka.

“Bukan sahaja penjualan Mykad yang terbongkar di Pulau Pinang yang mewajarkan kerajaan menubuh RCI itu, tetapi pendedahan oleh Ketua Polis Johor Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay yang mengatakan terdapat puluhan sendikit yang terlibat dalam pemerdagangan manusia telah dikenal pasti oleh pihak polis dan menunggu untuk diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha juga menjelaskan kedua-dua kes telah lama berlaku dan KDN amat mengetahui kerana PDRM, Imigresen dan JPN berada dibawah KDN, Bagaimanapun, oleh kerana tiada kesungguhan untuk bertindak maka jenayah itu berterusan berlaku.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pernah bertanya kemana menghilangnya puluhan ribu warga pelancong Cina yang masuk kenegara ini tetapi didapati tiada rekod keluar oleh Imigresen,” katanya.



Ini bermaknanya jelas beliau lagi sudah lama rahsia ini diketahui tetapi tiada tindakan tegas diambil.

“Ketiga-tiga jabatan dibawah KDN yang terlibat dengan penguatkuasaan (PDRM, Imigresen dan JPN) gagal untuk menjawab pertanyaan Tun Abdullah ketika itu,” jelasnya.

Oleh yang demikian, Veteran UMNO menyokong kenyataan Khaled Nordin dan turut mendesak supaya kerajaan dengan segera menubuh satu RCI untuk menyiasat jenayah ini dan membuat cadangan kepada kerajaan untuk tindakan,” jelasnya lagi

“Veteran ingin memberi amaran kepada kerajaan supaya jangan memandang remeh perkara jenayah ini yang boleh terjual maruah negara oleh pengkhianat yang mencari keuntungan peribadi. Bertindaklah walaupun sudah terlambat,” tegasnya – UMNO ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button