KENYATAAN MEDIA MENTERI PENGANGKUTAN 4 MEI 2020

MOT PANDANG SERIUS ISU PEMANDU YANG MENYEBABKAN KEMATIAN, SEDIA PINDA AKTA UNTUK BERI HUKUMAN LEBIH BERAT

Kementerian Pengangkutan Malaysia memandang serius isu berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara bahaya yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain termasuk anggota penguatkuasa yang sedang bertugas.

Saya telah meminta pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meneliti semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berhubung perkara ini.

Akta ini akan diteliti semula supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain ini dapat dikenakan hukuman yang lebih berat sekaligus memberi kesedaran dan pengajaran kepada semua pihak. Pada masa yang sama, Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan masing-masing juga akan diteliti semula.

Pada ketika ini, mengikut Seksyen 44 (1) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah menyatakan;

44. (1) Mana-mana orang yang, semasa memandu sesuatu kenderaan motor di jalan atau tempat awam lain –

(a) berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, setakat yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya; atau

(b) mempunyai sebegitu banyak alkohol dalam badannya sehingga kadar alkohol di dalam nafas, darah atau air kencingnya melebihi had yang ditetapkan,

dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mana-mana orang melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lapan ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit.

Penelitian pindaan Akta 333 ini turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Saya juga ingin menegaskan kepada para pemandu supaya tidak memandu apa jua jenis kenderaan sekiranya berada dalam keadaan mabuk sebaliknya menggunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing. Ini sekaligus dapat mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya khususnya melibatkan kematian pengguna jalan raya yang lain.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
4 MEI 2020

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker