Hebahkan !!!
Serina puji sikap bapanya, Chef Wan tidak pernah mengabaikan kebajikan arwah ibunya, biarpun sudah lama berpisah

 

 

KUALA LUMPUR: Usahawan, pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan berdepan kehilangan besar dalam hidupnya pada tanggal 18 Mac lalu.

Sekian lama menderita penyakit komplikasi buah pinggang dan jantung, ibunya, Allahyarham Norhayate Ayub menutup mata tanpa Serina sempat berada di sisi. Ketika itu, Serina dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu atas urusan perniagaan.

Anak kepada chef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan itu berkata, kesedihannya atas kehilangan insan tersayang hanya Tuhan sahaja yang tahu, tetapi dia reda, hilang sudah kesakitan yang ditanggung arwah ibunya selama ini.

“Sepatutnya, arwah perlu menjalani pembedahan memotong kaki kerana boleh mengancam nyawanya. Bagaimanapun, syukur tidak dilakukan, itu juga petanda arwah dapat pulang ke negeri abadi dalam keadaan sempurna.

“Pada hari pemergian arwah, saya melihat karakter Papa buat kali pertamanya berubah. Kita kenal Papa sebagai seorang yang suka bercakap.

“Tetapi, Papa lebih banyak mendiamkan diri dan hanya menangis. Setiap kali kain yang menutupi wajah arwah dibuka, air matanya mengalir laju. Begitu juga pada majlis pengebumian, Papa hanya diam dan termenung,” katanya kepada BH Online.

Serina berkata, biarpun arwah Mama dan Papa sudah lama berpisah, tetapi hubungan mereka masih baik.

“Saya tak boleh nafikan, arwah Mama sangat beruntung kerana Papa cukup mengambil berat kebajikannya. Ada sahaja baju atau cenderahati dibelikan untuk arwah, setiap kali ke luar negara.

“Papa juga tidak pernah gagal memberikan wang belanja, setiap bulan. Beliau juga menyediakan rumah untuk keselesaan arwah,” katanya.

Serina berkata, dia tidak akan lupa seumur hidup momen terakhirnya ketika memandikan jenazah arwah.

“Hati saya rabak melihat tubuh arwah sewaktu memandikan jenazahnya. Cukup berbeza memandikan arwah ketika masih hidup dan terbujur kaku.

“Sebelum ini, saya sering memandikan dan merapikan rambutnya. Berat badan berlebihan menyebabkan arwah sukar berjalan. Saya pernah beberapa kali terjatuh ketika saya cuba mengangkat arwah daripada kerusi roda untuk masuk dalam kereta.

“Pengorbanan ini nampak kecil, tetapi sangat bermakna buat orang tua. Saya dapat lihat arwah akan mengukir senyuman manis dan mengucapkan terima kasih setiap kali saya selesai memandikannya. Begitu juga bila saya terjatuh ketika mengangkatnya, dia hanya ketawa,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: