Penantian 13 tahun, Aidilfitri tahun ini paling bermakna

Kuala Lumpur: Sambutan Aidilfitri tahun ini menjadi paling bermakna buat Siti Nur Huda Mohd Fadli apabila dapat berkumpul bersama bapa tersayang selepas 13 tahun terpisah di sebalik tirai besi.

Bapanya, Mohd Fadli Mohd Yusof, 57, dibebaskan dari penjara pada 2 Disember lalu dan kini tinggal bersama Siti Nur Huda di Kota Damansara, dekat sini.

Di sebalik kegembiraan itu, Siti Nur Huda, 31, bersama empat adiknya hiba kerana saat dinanti sejak sekian lama tidak dapat dirasai ibu, Kamaliah Ali, 51, yang terlebih dahulu dijemput Illahi pada November 2018.



Berkongsi kisahnya, Siti Nur Huda berkata, tiada apa yang menggembirakannya tahun ini selain dapat menyambut Aidilfitri bersama bapa yang juga bekas penjawat awam biarpun persiapan raya mereka hanya sederhana.

Menurutnya, dia mengambil pendekatan terbuka terhadap kisah silam bapa yang ia bukan dianggap pemutus hubungan mereka biarpun mengakui ada suara luar yang masih ada stigma negatif terhadap komuniti seperti bapanya.

“Abah insan yang membawa saya dan empat adik ke dunia, membesarkan kami dengan baik sebelum ini, jadi apa alasan saya membuang abah selepas dia keluar penjara.

“Selama 13 tahun abah berada di sana, kami semua menanggung rindu terutama arwah ibu yang saban tahun berharap dapat beraya bersama.



“Sebab itu bagi kami lima beradik, Aidilfitri tahun ini sangat bermakna kerana dapat beraya bersama abah dan kami juga memakai baju raya sedondon, tetapi saya sedih kerana ibu tak sempat merasa kegembiraan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Sabtu lalu, ibu tiga anak itu berkongsi video dia bersama keluarga menyambut bapa keluar dari pintu Penjara Kajang yang mendapat perhatian dan meraih 1.1 juta tontonan serta hampir 4,000 komen memberi sokongan kepada mereka sekeluarga.

Berhubung video itu, Siti Nur Huda berkata, tiada sekelumit rasa malu untuk mengakui lelaki yang keluar dari pintu penjara itu adalah bapanya, malah dia bersyukur mereka akhirnya bersatu.

“Saya tak sangka video abah dapat perhatian dan banyak komen memberikan sokongan, semangat dan kata positif sehingga kami sekeluarga sebak.



“Saya harap perkongsian video itu memberi mesej supaya masyarakat tidak menilai banduan dengan negatif dan mereka layak mendapat peluang kedua daripada kita,” katanya.

Menurutnya, bapanya kini pesakit darah tinggi dan jantung yang mana sepatutnya seminggu selepas keluar penjara, dia perlu membuat pemeriksaan di hospital, namun kerana tidak mahu membuat anak malu, bapanya tidak ke hospital.

“Abah cakap dia tak mahu kami malu bawanya ke hospital sebab kepala surat rujukan itu daripada penjara. Itu membuatkan saya sedih sebab kami tidak malu mengakui dia abah kami.

“Ketika di penjara, kami melawatnya hampir setiap bulan bersama adik dan ibu,” katanya sambil memberitahu suami juga menerima bapanya dengan baik.



Sementara itu, Mohd Fadli berkata, dia sebak kerana semua anak dan ahli keluarga masih menerimanya dengan tangan terbuka, malah turut melayan dengan baik.

Katanya, dia juga berasa Ramadan dan Aidilfitri kali ini sangat bermakna biarpun tidak sempat beraya bersama isteri yang disifatkan wanita paling istimewa dan tabah sepanjang hayat.

“Perjalanan kisah saya tidak mudah, tetapi rezeki saya dapat kembali bersama anak.

“Pembebasan saya berkat doa isteri selepas rayuan di Mahkamah Rayuan berjaya dan hukuman diringankan.



“Sepanjang 13 tahun di penjara, banyak perkara yang menjentik hati terutama kembali membaca al-Quran dan setiap kali Ramadan, dua kali saya khatam kalam Allah itu,” katanya mengakui sokongan orang ramai sangat dihargainya.

Menurutnya, mereka sekeluarga pulang beraya ke kampung halaman di Pulau Tioman, Pahang minggu hadapan dan semua ahli keluarga di sana dikatakan tidak sabar mahu berjumpa dengannya.

“Selepas keluar penjara, kami pulang ke kampung isteri di Pontian, Johor dan keluarga buat kenduri doa selamat selain saya turut melawat kubur isteri.

“Saya pernah sertai program Jalinan Kasih Aidilfitri 2019 (program banduan bertemu keluarga pada hari raya di penjara), tetapi kali ini suasana itu sangat berlainan kerana kita tiada had masa untuk berkumpul.



“Kemeriahan itu dirasai biarpun sedih tidak dapat menjamah ketupat dan rendang air tangan isteri. Janjinya dia mahu menunggu saya, tetapi sudah takdir dia pergi dahulu sebelum sempat kami bersatu,” katanya.

Mohd Fadli berkata, dia juga mahu melupakan kisah silam dan meneruskan kehidupan dengan baik bersama keluarga selain turut berharap masyarakat dapat memberi sokongan dan peluang kedua kepada bekas banduan.

“Saya pernah berasa akan terpinggir dan tidak diterima, tetapi sokongan semua ahli keluarga memberikan saya semangat baru untuk meneruskan kehidupan.

“Sejujurnya saya tak sangka penerimaan keluarga sangat baik,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button