COVID-19 : 11 warga asing larikan diri selepas jalani ujian saringan ditahan – Bukit Aman

 

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Seramai 11 individu daripada 145 warga asing yang melarikan diri selepas menjalani ujian saringan wabak COVID-19 di tapak pembinaan Pavilion Embassy, Jalan Ampang di sini, kelmarin, ditahan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, lima daripadanya berjaya ditahan hari ini manakala enam lagi ditahan semalam.



Katanya buat masa ini, pihaknya sedang mengesan saki-baki pekerja warga asing yang melarikan diri itu.

“Kesemua yang melarikan diri itu adalah antara lebih 300 pekerja tapak pembinaan berkenaan, yang disaring selepas ada rakan sekerja yang didapati positif wabak berkenaan.

“Bagaimanapun kami dimaklumkan bahawa keputusan ujian kesemua 145 pekerja itu adalah negatif COVID-19,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan 145 pekerja warga asing melarikan diri, selepas pasukan perubatan melakukan saringan COVID-19, di kawasan tapak pembinaan itu.



Dalam pada itu Huzir berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sembilan warga asing terdiri daripada enam lelaki Indonesia dan tiga Bangladesh, yang melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin di Petaling Jaya, kelmarin.

“Usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button